Advertisement

ZIARAH KASIH UniMAP SANTUNI PELAJAR, PRIHATIN KEADAAN BAPA HIDAP KANSER

Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan

SIMPANG AMPAT, PERLIS, 15 September 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Program Ziarah Kasih terus memperkukuh komitmen terhadap kebajikan mahasiswa apabila menyantuni keluarga Muhammad Ashrul Shafys bin Mohd Rasyidee, bakal pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia.

Muhammad Ashrul Shafys, yang merupakan anak kedua daripada tiga orang adik-beradik, datang daripada keluarga yang berdepan cabaran kesihatan dan kewangan apabila bapanya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah Institut Pendidikan Tinggi di Kangar turut menghidap kanser usus.

Bapanya pernah menjalani pembedahan pada tahun 2022 dan keadaan kesihatan tersebut menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi keluarga dalam meneruskan kehidupan, selain ibu beliau yang merupakan suri rumah.

Sehubungan itu, UniMAP mengambil pendekatan proaktif melalui Program Ziarah Kasih bagi menyantuni keluarga berkenaan serta memastikan kebajikan dan keperluan mahasiswa yang berdepan kekangan keluarga terus diberi perhatian.

Ziarah tersebut diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohamad Syahmie Mohamad Rasidi serta staf Unit Kebajikan, JHEP.

Dalam kunjungan itu, turut disampaikan sumbangan menerusi Kempen Bantu Mula Siswa, sebuah inisiatif yang diperkenalkan oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bagi membantu mahasiswa daripada keluarga yang memerlukan membuat persediaan untuk memulakan pengajian di institusi pendidikan tinggi.

Sumbangan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban keluarga Muhammad Ashrul Shafys, khususnya dalam menghadapi keperluan harian dan persediaan pengajian beliau di UniMAP.

Program Ziarah Kasih ini merupakan antara usaha berterusan UniMAP dalam memastikan aspek kebajikan mahasiswa sentiasa diberi keutamaan, khususnya mereka yang berdepan cabaran ekonomi, kesihatan serta keadaan keluarga yang memerlukan perhatian dan sokongan.

Pendekatan berkenaan turut mencerminkan komitmen UniMAP untuk memastikan mahasiswa dapat meneruskan pengajian dengan sebaiknya tanpa menjadikan kekangan keluarga sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan akademik dan membina masa depan.