Advertisement

1,885 PEGAWAI MUDA PALAPES UA DIINGATKAN PIKUL AMANAH PERTAHAN NEGARA

Oleh: Mohd Khairul Effendi Che Wan & Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 12 September 2026 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan 1,885 Pegawai Muda Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Awam (PALAPES UA) yang baru ditauliahkan supaya memahami dan menjunjung amanah besar dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Baginda bertitah, setiap Pegawai Muda perlu memelihara nama baik Institusi Raja, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), universiti serta pasukan yang diwakili, di samping menampilkan keteladanan dalam tutur kata, tingkah laku dan tindakan.

“Ingatlah, mempertahankan negara bukan sekadar tugas, tetapi komitmen dan tanggungjawab kepada tanah air.

“Berkhidmatlah dengan ilmu, berjuanglah dengan keberanian, dan berdirilah teguh demi Malaysia yang berdaulat, aman dan dihormati,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES UA Ke-44 Tahun 2026 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra, di sini, hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan bahawa landskap keselamatan masa kini semakin kompleks berikutan kemunculan pelbagai bentuk ancaman baharu yang memerlukan generasi pertahanan memiliki pengetahuan dan keupayaan beradaptasi.

“Ancaman terhadap negara tidak lagi terhad kepada peperangan konvensional. Serangan siber, peperangan hibrid, penggunaan dron, kecerdasan buatan dan ketidaktentuan politik global kini membentuk landskap keselamatan yang perlu kita hadapi,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda menyeru generasi pertahanan baharu supaya celik teknologi, bijak menilai maklumat, memahami isu keselamatan serta sentiasa mengikuti perkembangan geopolitik.

Pada istiadat tersebut, seramai 1,885 Pegawai Kadet daripada 20 universiti awam ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia (TDM), Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,218 Pegawai Kadet Darat, 389 Laut dan 278 Udara menerima tauliah masing-masing.

Dalam titahnya, Tuanku Syed Faizuddin turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan ATM, khususnya Panglima Angkatan Tentera Malaysia serta para Panglima yang hadir atas dukungan dan komitmen dalam menjayakan istiadat berkenaan.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua Naib Canselor universiti awam, UniMAP selaku tuan rumah, Komandan PALAPES yang juga Naib Canselor UniMAP serta seluruh jawatankuasa kerja yang telah mencurahkan tenaga dan usaha bagi memastikan istiadat berlangsung dengan penuh gemilang.

Penghargaan turut ditujukan kepada para jurulatih, ibu bapa dan waris Pegawai Kadet yang sentiasa menjadi sumber bimbingan, sokongan, dorongan serta pengorbanan sepanjang tempoh latihan.

UniMAP menjadi tuan rumah buat julung kalinya bagi Istiadat Pentauliahan Diraja PALAPES UA Ke-44, yang menghimpunkan 1,885 Pegawai Kadet daripada 20 universiti awam seluruh negara.

Penganjuran istiadat berkenaan turut mencerminkan komitmen institusi pendidikan tinggi dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berdaya kepimpinan dan bersedia menyumbang kepada keselamatan serta kedaulatan negara.

Mengakhiri titah, Tuanku Syed Faizuddin bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut mendoakan agar seluruh hadirin sentiasa berada dalam lindungan-Nya serta selamat kembali ke destinasi masing-masing.