Advertisement

UniMAP Galas Amanah Sebagai Tuan Rumah Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kor SUKSIS UA Ke-23

Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan & Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah

BACHOK, KELANTAN, 14 September 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menggalas amanah sebagai tuan rumah Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi (Kor SUKSIS) Universiti Awam Ke-23 yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2027.

Kepercayaan tersebut menyaksikan UniMAP meneruskan kesinambungan penganjuran sebuah acara berprestij yang menghimpunkan pelatih Kor SUKSIS dari universiti awam seluruh Malaysia, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Amanah tersebut diserahkan secara simbolik oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah, yang juga Komandan Kor SUKSIS UMK, kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Albakri Abdullah, yang juga Komandan Kor SUKSIS UniMAP.

Penyerahan itu berlangsung pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS Universiti Awam Ke-22, yang disaksikan oleh YDH CP Dato’ Noor Hisam Nordin, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, di hadapan kira-kira 5,000 pelatih dan tetamu semalam.

Penganjuran edisi ke-23 di UniMAP bukan sekadar membawa tanggungjawab sebagai tuan rumah, malah mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan universiti dalam mengendalikan program berskala kebangsaan yang melibatkan peserta, delegasi dan agensi keselamatan dari seluruh negara.

Majlis berkenaan turut menjadi kemuncak kepada perjalanan latihan para pelatih Kor SUKSIS sebelum mereka menerima pengiktirafan dan pelantikan sebagai Inspektor Kor SUKSIS Universiti Awam.

Sepanjang mengikuti latihan, para pelatih didedahkan kepada aspek disiplin, kepimpinan, kepolisan dan tanggungjawab sosial yang menjadi asas penting dalam pembentukan mahasiswa berintegriti, berkeyakinan serta mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Bagi UniMAP, penganjuran tersebut turut menjadi platform untuk mengetengahkan keupayaan universiti dalam mengurus program berprestij, selain memperlihatkan komitmen UniMAP terhadap pembangunan mahasiswa secara menyeluruh yang merangkumi akademik, sahsiah, kepimpinan dan khidmat kepada masyarakat.

Dalam memastikan penganjuran edisi ke-23 berjalan lancar, UniMAP akan memberi perhatian terhadap persediaan awal meliputi aspek protokol, pengurusan peserta, keselamatan, logistik serta penyelarasan bersama pihak berkepentingan.

Kerjasama erat antara UniMAP, PDRM, universiti awam dan agensi berkaitan juga dijangka menjadi antara faktor penting dalam memastikan majlis tersebut dapat dilaksanakan dengan teratur serta mencapai tahap penganjuran yang membanggakan.

Lebih daripada sebuah acara rasmi, majlis tersebut bakal menjadi simbol penghargaan kepada para pelatih Kor SUKSIS atas komitmen dan pengorbanan mereka sepanjang menjalani latihan, selain menjadi medan memperkukuh jaringan antara institusi pendidikan tinggi dan PDRM dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin serta berjiwa kepimpinan.

UniMAP melihat amanah yang diberikan ini sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen dan profesionalisme, sekali gus menjadikan penganjuran Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS Universiti Awam Ke-23 sebagai satu lagi pencapaian bermakna dalam memperkasa pembangunan mahasiswa dan hubungan strategik universiti bersama PDRM.