Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 16 September 2026 – Sambutan Hari Malaysia 2026 Universiti Sains Malaysia yang berlangsung di Dewan Tunku Syed Putra bersempena Minggu Siswa Lestari bersama pelajar baharu Sidang Akademik 2026/2027 hari ini memperkukuh semangat penyatuan dan kebersamaan warga universiti menerusi penghayatan Hari Malaysia sebagai simbol perpaduan rakyat.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata, Hari Malaysia bukan sekadar tarikh yang tercatat dalam kalendar negara, sebaliknya merupakan simbol penyatuan rakyat yang perlu terus dihayati generasi muda sebagai asas membina masyarakat yang bersatu, saling menghormati dan menghargai kepelbagaian.

“No One Left Behind” mencerminkan komitmen USM untuk memastikan setiap mahasiswa, tanpa mengira kedudukan atau latar belakang, dilihat sebagai anak USM serta diberikan peluang untuk berkembang dalam persekitaran universiti yang inklusif dan penyayang,” ujar beliau.
Sambutan turut diserikan dengan Majlis Perasmian Alumni Back To Kampus dan Sesi Dialog Bicara Alumni Hari Malaysia bertemakan “Malaysia MADANI: Anak Muda Penentu Masa Depan Negara”.


Menampilkan Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar, Encik Ir. Ts. Kamarul Badlishah Kamarulzaman, Presiden Persatuan Alumni USM dan Encik Ahmad Wafi Sahedan, Penyelaras Pusat Pembangunan Alumni USM sebagai barisan panel, manakala Saudara Azfar Al-Hafiz Azman, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, bertindak sebagai moderator.
Turut hadir ialah Puan Siti Aishah Abdul Raffar, Ketua Pentadbir BHEPA, Profesor Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar & Alumni, Dr. Abdul Rais Abdul Latif, Pengerusi Majlis Penggawa Universiti serta barisan pegawai tertinggi USM yang turut menyemarakkan sambutan sebagai platform memperkukuh hubungan universiti, mahasiswa dan alumni, di samping menyuburkan semangat perpaduan, patriotisme serta kesedaran generasi muda dalam mencorakkan masa depan negara.
Untuk lebih banyak berita, ikuti kami di :












