Advertisement

UniMAP CATAT SEJARAH, TUAN RUMAH PENTAULIAHAN DIRAJA PALAPES UA KE-44

Oleh: Mohd Khairul Effendi Che Wan & Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 12 September 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya diberi penghormatan menjadi tuan rumah Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Ke-44 Tahun 2026, yang menghimpunkan seramai 1,885 Pegawai Kadet daripada 20 UA seluruh Malaysia.

Istiadat penuh berprestij itu telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, yang juga Canselor UniMAP, dalam satu istiadat perbarisan penuh tradisi ketenteraan di Padang Kawad UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra, hari ini.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri baginda, Sharifah Farah Adriana.

Keberangkatan baginda disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak Sulaiman, Panglima-Panglima Perkhidmatan , Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman serta Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Istiadat berkenaan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pedang Kehormat kepada 39 Pegawai Kadet Terbaik sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, kepimpinan, disiplin dan kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang menjalani latihan PALAPES.

Selesai istiadat perbarisan, Baginda turut berkenan mengurniakan Watikah Tauliah kepada para Pegawai Muda dalam majlis yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor UniMAP, sekali gus menandakan bermulanya amanah dan tanggungjawab baharu mereka sebagai pegawai dalam pasukan simpanan Angkatan Tentera Malaysia.

Daripada keseluruhan 1,885 Pegawai Muda yang ditauliahkan, seramai 1,218 orang ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW), 389 orang ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 278 orang ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

Majlis turut disusuli dengan Bacaan Ikrar Taat Setia Perwira sebagai lambang kesetiaan, tanggungjawab dan kesiapsiagaan para Pegawai Muda dalam menggalas amanah serta memberikan khidmat kepada negara.

Sempena penganjuran bersejarah itu, UniMAP turut membuka ruang kepada masyarakat untuk mendekati dunia ketenteraan menerusi pelbagai pameran aset dan demonstrasi ketenteraan yang berlangsung selama tiga hari, dari 10 hingga 12 September 2026, di sekitar Padang Kawad dan Dataran Boulevard UniMAP.

Antara tarikan utama ialah pameran aset statik darat, laut dan udara, selain demonstrasi khas termasuk terjun bebas, Tempur Tanpa Senjata, ikhtiar hidup serta pertunjukan anjing perang.

Penganjuran tersebut bukan sahaja menjadi pentas meraikan kejayaan para Pegawai Kadet PALAPES yang menamatkan latihan, malah memberi peluang kepada masyarakat untuk menyaksikan dengan lebih dekat keupayaan, kesiapsiagaan dan aset pertahanan negara.

Lebih daripada sekadar sebuah istiadat pentauliahan, penganjuran PALAPES UA Ke-44 di UniMAP turut menyerlahkan nilai kepimpinan, disiplin, keberanian, patriotisme dan semangat kesukarelawanan yang menjadi asas pembentukan generasi muda sebagai aset penting negara.

Sebagai tuan rumah, UniMAP berbangga dapat menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini, sekali gus memperkukuh komitmen universiti dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki jati diri, kepimpinan dan semangat cinta akan negara.