Advertisement

UniMAP Perkukuh Kebajikan Mahasiswa Menerusi Dapur Siswa Madani Fasa Dua dan Kiosk Food Bank

Oleh: Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah

PADANG BESAR, 3 September – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh agenda kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa menerusi penyempurnaan pelaksanaan Dapur Siswa Madani (DSM) Fasa Dua dan Kiosk Food Bank UniMAP yang ketiga di Kompleks Perumahan UniCITI Alam, Sungai Chuchuh, Padang Besar.

Majlis peluncuran tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, yang turut diiringi Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.

Dalam majlis berkenaan, UniMAP turut menerima penyaluran Dana Fasa Dua bagi inisiatif Dapur Siswa Madani berjumlah lebih RM298,000, manakala program Food Bank UniMAP menerima dana sebanyak RM70,697.

Penyaluran dana tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menyokong usaha institusi pendidikan tinggi menyediakan bantuan keperluan asas kepada mahasiswa, khususnya dalam aspek keterjaminan makanan.

Pelaksanaan Dapur Siswa Madani dan Food Bank UniMAP ini disediakan bagi memenuhi keperluan serta memberi sokongan kepada para pelajar untuk mendapatkan makanan yang sihat dan bersesuaian, sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.

Inisiatif tersebut turut menjadi sebahagian daripada usaha UniMAP dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif, dengan kebajikan mahasiswa diberikan perhatian secara menyeluruh.

Kewujudan Kiosk Food Bank UniMAP yang ketiga di Kompleks Perumahan UniCITI Alam pula memperluas akses mahasiswa kepada barangan makanan dan keperluan asas, khususnya bagi mereka yang memerlukan sokongan sepanjang tempoh pengajian.

Pelaksanaan DSM Fasa Dua dan Kiosk Food Bank ini membuktikan kesungguhan UniMAP dalam memperkukuh ekosistem kebajikan mahasiswa, selaras dengan aspirasi universiti untuk memastikan keperluan asas pelajar terus terbela.

Usaha berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan mahasiswa, malah memberi ruang kepada mereka untuk memberi tumpuan yang lebih baik terhadap pengajian serta pembangunan diri sepanjang berada di UniMAP.