Oleh: Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah
PADANG BESAR, 3 September 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh usaha menjaga kesejahteraan warga kampus menerusi pelancaran MindPulse, sebuah platform digital yang membolehkan warga UniMAP membuat semakan kendiri tahap kesihatan mental secara mudah, cepat dan sulit.
Pelancaran platform tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, dalam satu majlis yang turut dihadiri Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.

MindPulse dibangunkan sebagai satu inisiatif sokongan kesihatan mental yang memberikan ruang kepada warga UniMAP untuk membuat semakan kendiri berkaitan keadaan psikologi mereka tanpa perlu mendedahkan identiti.
Menerusi platform ini, pengguna berpeluang mengetahui tahap tekanan, kebimbangan dan kemurungan yang dialami berdasarkan instrumen semakan kendiri yang disediakan.
Pengarah Pusat Kaunseling UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fathullah Ghazali, berkata pembangunan MindPulse bukan sekadar menyediakan kemudahan semakan kendiri kepada warga kampus, malah membantu Pusat Kaunseling memahami gambaran keseluruhan trend kesihatan mental dalam komuniti UniMAP.
Menurut beliau, data statistik yang dikumpulkan melalui platform berkenaan tidak merekodkan maklumat peribadi pengguna, sekali gus membantu memastikan aspek kerahsiaan dan privasi warga kampus terus terpelihara.
“Statistik yang dikumpulkan tanpa merekodkan maklumat peribadi ini masih dapat membantu Pusat Kaunseling UniMAP memahami trend kesihatan mental warga kampus.

“Maklumat tersebut seterusnya boleh digunakan untuk merancang program sokongan dan intervensi yang lebih berkesan, bersesuaian dengan keperluan warga UniMAP,” jelas beliau.
Beliau berkata, pendekatan berasaskan data berkenaan membolehkan usaha sokongan kesihatan mental dilaksanakan secara lebih tersusun, selain memberi gambaran terhadap keperluan intervensi dan program yang wajar diberi keutamaan.
Pelancaran MindPulse mencerminkan komitmen UniMAP dalam memperluas akses kepada sokongan kesihatan mental serta membudayakan amalan membuat semakan kendiri sebagai langkah awal dalam mengenal pasti keadaan emosi dan psikologi.
Inisiatif tersebut juga diharap dapat menggalakkan warga UniMAP agar lebih peka terhadap kesihatan mental masing-masing serta mendapatkan bantuan profesional sekiranya diperlukan.












