Advertisement

Tuanku Canselor UniMAP Berkenan Tinjau Persiapan Istiadat Pentauliahan DiRaja PALAPES Ke-44

Oleh: Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah

ARAU, 26 Ogos 2026 – Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan melawat dan meninjau lokasi Istiadat Pentauliahan DiRaja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Ke-44 Tahun 2026 di Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, hari ini.

Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada persiapan dan kesiapsiagaan lokasi bagi memastikan kelancaran istiadat yang bakal menghimpunkan pegawai kadet PALAPES dari universiti awam seluruh negara.

Turut mengiringi baginda ialah Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid; Pengarah Pengurusan Latihan Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD), Brigedier Jeneral Dato’ Fazly Mat Said; Ketua Pengarah BMAS, Laksamana Pertama Log. Ts. Dr. Hisyam Harun, serta Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Istiadat Pentauliahan DiRaja PALAPES Universiti Awam merupakan acara penting dalam mengiktiraf kejayaan pegawai kadet yang telah menamatkan latihan ketenteraan, di samping melahirkan graduan yang berdisiplin, berdaya kepimpinan dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

UniMAP selaku tuan rumah komited memastikan segala persiapan dan pengurusan istiadat berjalan lancar serta memenuhi aspek protokol dan ketetapan yang ditetapkan.