Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan & YM Raja Shah Erman Raja Arifin
BACHOK, KELANTAN, 15 September 2026 – Tiga pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta kecemerlangan apabila masing-masing menerima pengiktirafan sebagai pelatih terbaik dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS Universiti Awam Ke-23 yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, semalam.
Pengiktirafan tersebut diraih oleh Inspektor KS Aqmal Adinee AleeImran yang dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan, Inspektor KS Mageswaran A/L Parameswaran sebagai Pelatih Terbaik Akademik dan Inspektor KS Nuurul Athiyyah Suhaimi sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar.
Aqmal Adinee Aleeimran yang berasal dari Kelantan ini merupakan anak sulung dari 5 orang adik beradik. Pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal Teknologi Sistem Pertanian ini mewarisi disiplin yang tinggi dari bapanya yang bertugas sebagai Pegawai Penjara. Dengan pengalaman selama 3 tahun memimpin skuad SUKSIS, beliau mempunyai cita-cita menjadi seorang Pegawai Polis.

Mageswaran A/L Parameswaran anak kelahiran Kuala Lumpur ini pula merupakan anak sulung dari 3 orang adik beradik. Bercita-cita menjadi seorang Jurutera Komputer, pelajar yang mengambil Kursus Kecergasan Pengkomputeran ini terus mengekalkan prestasi cemerlang dalam akademik selama 3 tahun beliau aktif di dalam SUKSIS.
Manakala bagi Nuurul Athiyyah Suhaimi pelajar jurusan Kejuruteraan Mikroelektronik sangat aktif dalam latihan luar SUKSIS dan memegang be berapa jawatan dalam Kelab SUKSIS UniMAP. Anak kedua dari 5 beradik yang berasal dari Kedah ini bercita-cita menjadi seorang Jurutera
Pencapaian tiga pelatih berkenaan cukup bermakna apabila pengiktirafan tersebut melibatkan keseluruhan 1,055 pelatih SUKSIS dari Universiti Awam di seluruh negara yang menerima Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS pada majlis berkenaan.
Dalam majlis sama, seramai 60 pelatih SUKSIS UniMAP turut menerima Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS, sekali gus melengkapkan kejayaan kontinjen UniMAP pada majlis berprestij tersebut.
Majlis disempurnakan oleh YDH CP Dato’ Noor Hisam bin Nordin, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, dan turut dihadiri Naib Canselor UMK, Ketua Polis Kelantan serta Komandan Kor SUKSIS Universiti Awam.
Kejayaan yang diraih tiga pelatih UniMAP itu menyerlahkan prestasi dan kualiti pelatih SUKSIS UniMAP yang bukan sahaja cemerlang dari aspek disiplin serta kepimpinan, malah turut menyerlah dalam bidang akademik dan latihan luar.
Pengiktirafan tersebut turut menjadi bukti kesungguhan dan komitmen pelatih dalam menjalani latihan Kor SUKSIS yang menekankan pembentukan sahsiah, ketahanan diri, kepimpinan, disiplin dan semangat berkhidmat kepada masyarakat serta negara.

Sementara itu, UniMAP turut menerima amanah sebagai tuan rumah bagi Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS Universiti Awam bagi tahun 2027.
Simbolik penyerahan tanggungjawab sebagai tuan rumah telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK yang juga Komandan Kor SUKSIS UMK kepada YDH Prof. Dr. Mohd Mustafa Albakri Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP yang juga Komandan Kor SUKSIS UniMAP. Penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Pengarah JPJKK Bukit Aman.
Kejayaan tiga pelatih UniMAP dinobatkan sebagai pelatih terbaik, di samping 60 pelatih menerima sijil pelantikan, menjadi pencapaian membanggakan buat UniMAP serta mencerminkan keberkesanan usaha universiti dalam melahirkan mahasiswa yang berdisiplin, berintegriti, berdaya saing dan berjiwa kepimpinan.












