Advertisement

ZIARAH KASIH UUM: PRIHATIN NASIB LIMA BAKAL MAHSISWA DI PAHANG

Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperlihatkan keprihatinan terhadap kebajikan bakal mahasiswa apabila lima bakal mahasiswa yang bakal melanjutkan pengajian di UUM disantuni menerusi Program Ziarah Kasih UUM di beberapa kawasan di Pahang.

Kunjungan pada hari pertama ini melibatkan dua bakal mahasiswa di Bera, seorang di Kuala Lipis dan dua lagi di Kuala Krau, dengan setiap penerima disantuni bersama keluarga masing-masing.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), Pusat Zakat dan Wakaf UUM (PWZ) serta Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD).

Menerusi program tersebut, kesemua lima bakal mahasiswa menerima Bantuan Awal Pendidikan dan Bantuan Awal Pengajian dalam bentuk wang tunai bagi membantu membuat persediaan sebelum mendaftar sebagai mahasiswa UUM.

“Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed bersama bakal mahasiswa dan keluarga pada Program Ziarah Kasih UUM di Pahang.”

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan universiti terhadap kebajikan bakal mahasiswa yang bakal memulakan fasa baharu dalam kehidupan mereka di institusi pengajian tinggi.

“UUM amat prihatin terhadap kebajikan bakal mahasiswa. Oleh itu, kami melaksanakan Program Ziarah Kasih bagi menyantuni mereka serta membantu meringankan beban keluarga sebelum mereka memulakan pengajian di UUM,” katanya.

Beliau berkata, kunjungan secara langsung ke kediaman bakal mahasiswa bukan sahaja membolehkan pihak universiti berinteraksi secara langsung dengan keluarga, malah memberi peluang untuk memahami keadaan serta keperluan mereka dengan lebih dekat.

Menurut beliau, sokongan yang diberikan pada peringkat awal diharap dapat membantu bakal mahasiswa ini membuat persediaan dengan lebih baik sebelum memulakan pengajian di UUM.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Dr. Dzarfan Abdul Kadir berkata, Bantuan Awal Pengajian yang disalurkan merupakan antara bentuk sokongan universiti bagi membantu bakal mahasiswa membuat persediaan sebelum melangkah ke alam pengajian tinggi.

Katanya, bantuan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para penerima bagi memenuhi keperluan asas sebelum memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.

Program Ziarah Kasih UUM di Pahang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan universiti untuk mendekati bakal mahasiswa serta memastikan kebajikan dan keperluan mereka diberi perhatian sejak sebelum menjejakkan kaki ke kampus.

Gambar dan Berita oleh: MUHAMMAD AMIR IKRAM (JOC SELECT)