Advertisement

Kontinjen Silat Cekak Pusaka Hanafi UTM Raih Dua Pingat Perak dalam KFSBPM26

Oleh : Encik Mohd Fauzi bin Abdul Rais

SHAH ALAM, 24 Oktober 2026 – Kontinjen Silat Cekak Pusaka Hanafi (SCPH) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya meraih dua pingat perak serta mendapat kedudukan ke-7 daripada 15 buah institusi pengajian tinggi (IPT) yang bertanding di dalam Kejohanan & Festival Seni Beladiri Pendekar Madani 2026 (KFSBPM26) yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, Selangor. Kejohanan ini telah dianjurkan oleh pihak Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (PSSCPUHM). Penyertaan UTM melibatkan seramai 30 orang atlet dan 10 orang penyokong daripada Persatuan Seni Silat Cekak Universiti Teknologi Malaysia (PSSCUTM), dengan PM Ts. Dr. Azizul Azri bin Mustaffa selaku Pengurus Pasukan merangkap Penyelia Pusat Latihan SCPH-UTM.

Kontinjen UTM yang diwakili Persatuan Seni Silat Cekak UTM
(30 Atlet + 1 Pengurus + 10 Penyokong)
Kontinjen UTM di luar Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam Selangor

Kontinjen UTM berjaya membawa pulang dua pingat perak masing-masing menerusi Kategori Berkumpulan Formasi 6 Buah Jatuh Standard (Wanita) dan Kategori Sepasang Tongkat (Wanita). Kejayaan ini membuktikan kesungguhan, disiplin dan komitmen para atlet dalam menguasai teknik persilatan serta memberikan persembahan terbaik ketika bersaing dengan peserta daripada IPT yang lain.

Pemenang Pingat Perak Kategori Berkumpulan Formasi 6 Buah Jatuh Standard (Wanita)  – Syifaa’ Nur Huda Binti Ibrahim, Khalidah Syahirah Mohammad Ishak, Nurin Jazlina Binti Sahimi, Ainul Haarisa Binti Mohd Sah, Aisyah Humaira Binti Zainudin, Siti Nor Afiqah Binti Azmi
Pemenang Pingat Perak Kategori Sepasang Tongkat (Wanita) – Darwisyah Al-Awfiyah Khairul Izam
dan Syarifah Rafhanah Binti Roslan

Kejohanan tersebut turut dihadiri oleh YM Kolonel Kehormat (PA) Dr. Hj. Md. Radzi bin Hj. Hanafi, Pewaris Mutlak Silat Cekak merangkap Presiden PSSCPUHM, dan dirasmikan oleh En. Abd. Aziz bin Abd. Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan selaku wakil rasmi YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari, Menteri Belia dan Sukan (KBS). Kehadiran wakil KBS mencerminkan sokongan terhadap usaha memperkasa seni mempertahankan diri dalam kalangan generasi muda.

Para srikandi PSSCUTM bersama YM Kolonel Kehormat (PA) Dr. Hj. Md. Radzi bin Hj. Hanafi, Pewaris Mutlak Silat Cekak

Pencapaian kontinjen UTM merupakan hasil daripada latihan berterusan dan persediaan rapi yang dilaksanakan sebelum kejohanan. Sepanjang tempoh persediaan, para atlet memberikan tumpuan terhadap penguasaan teknik, keseragaman pergerakan, ketahanan fizikal dan persediaan mental. Komitmen yang ditunjukkan mencerminkan semangat juang serta kesungguhan mahasiswa dalam mengimbangi tanggungjawab akademik dengan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Selain menguji kemahiran dan keupayaan diri, penyertaan dalam KFSBPM26 turut membuka peluang kepada mahasiswa untuk menimba pengalaman pertandingan di peringkat kebangsaan serta menjalinkan hubungan dengan peserta daripada pelbagai IPT. Pengalaman ini bukan sahaja membantu meningkatkan keyakinan diri dan semangat kerjasama berpasukan, malah memperkukuh disiplin, kepimpinan serta jati diri dalam kalangan mahasiswa.

Di antara aksi para atlet UTM – Kategori Umum Papan Sekeping (Wanita) (atas kiri), Kategori Umum Kreatif (Lelaki) (atas kiri), Kategori Berkumpulan Formasi 6 Buah Jatuh Standard (Lelaki) (bawah)

Kejayaan meraih dua pingat perak ini turut memperlihatkan peranan aktif PSSCUTM dalam memartabatkan warisan seni persilatan Melayu melalui penglibatan generasi muda. Usaha ini selaras dengan aspirasi UTM untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berdaya saing, berketerampilan dan aktif dalam pembangunan sahsiah serta kokurikulum.

Pencapaian ini diharapkan menjadi pemangkin semangat kepada seluruh ahli PSSCUTM untuk terus mempertingkatkan mutu latihan, memperkukuh penguasaan seni persilatan dan melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan, sekali gus mengharumkan nama UTM di persada kebangsaan.

Total Views: 25