Advertisement

LEA Future Leaders Academy Perkasa Potensi Kepimpinan Dan Kebolehpasaran Mahasiswa UUM

Berita oleh: Anis Zulaikha Kamal

Gambar: Rose Fazlinda Yanti Abd Rashid

SINTOK, 27 Oktober 2026 – Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Lion Estate Advisory (LEA) Sdn. Bhd. telah menganjurkan program LEA Future Leaders Academy (Preview): Build Your Future Before You Graduate bertempat di Auditorium SAC, UUM.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai pembangunan kepimpinan, kemahiran insaniah serta persediaan menghadapi alam pekerjaan sebelum menamatkan pengajian.

Program ini menampilkan sesi perkongsian oleh Khor Shunzhi, Perancang Kewangan Bertauliah merangkap Pengurus Latihan di LEA yang berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan pembangunan potensi diri, kepimpinan serta pembinaan hala tuju kerjaya.

Antara aspek yang diketengahkan dalam program ini termasuklah kemahiran kepimpinan, komunikasi, pembentangan, jaringan profesional, pembinaan pasukan dan literasi kewangan. Selain itu, mahasiswa turut didedahkan kepada peluang bimbingan kerjaya melalui mentor industri, interaksi pemimpin perniagaan serta penerapan minda keusahawanan.

Penolong Pengarah Kanan PPKKG, Rose Fazlinda Yanti Abd Rashid, berkata program seumpama ini merupakan salah satu usaha berterusan PPKKG dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki kemahiran kepimpinan, keyakinan diri dan kompetensi yang diperlukan oleh industri.

“Pendedahan kepada pembangunan kepimpinan dan kemahiran profesional perlu diberikan kepada mahasiswa sejak di bangku universiti. Melalui program ini, mahasiswa berpeluang mengenal pasti potensi diri, membina keyakinan serta memperluas jaringan profesional sebagai persediaan untuk menjadi pemimpin masa hadapan,” katanya.

Penganjuran program ini diharapkan dapat membuka ruang kepada mahasiswa untuk meneroka potensi diri, membina keupayaan kepimpinan dan merancang pembangunan kerjaya dengan lebih jelas, sekali gus menyokong aspirasi UUM dalam melahirkan graduan holistik, kompeten dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Total Views: 0