Oleh: ChM. Dr. Mohammad Arif Budiman bin Pauzan
PAGOH – Dalam usaha melahirkan graduan kelas pertama yang kalis masa depan serta bersedia menempuh alam pekerjaan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melakar sejarah penganjuran berimpak tinggi melalui FAST Career Readiness 2026: From Campus to Industry.
Berlangsung dengan penuh jayanya pada 17 dan 19 Oktober lalu, program sinergi antara Kelab Sains dan Teknologi (STC) dan Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni (PKKA) ini direka khusus untuk merapatkan jurang akademik dan realiti sebenar sektor korporat.
Kemuncak program ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berbahagia Prof. Ts. Dr. Abdul Mutalib Bin Leman, Provost UTHM Cawangan Pagoh.

Majlis penuh bermakna ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura Binti Awang, Dekan FAST; Prof. Madya Ts. Dr. Siti Suhana Binti Jamaian, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FAST; serta ChM. Dr. Mohammad Arif Budiman bin Pauzan selaku Penasihat Program.
Bagi memastikan objektif memperkasakan kebolehpasaran graduan ini tercapai, penganjuran program telah disusun kepada dua fasa utama yang cukup strategik.
Fasa pertama bermula di Dewan A9, Kolej Kediaman UTHM Pagoh pada 17 Oktober menerusi penganjuran Career Workshop, di mana pelajar dipersiapkan secara komprehensif oleh Career Coach lantikan rasmi UTHM.
Menerusi bengkel ini, peserta didedahkan secara terperinci mengenai teknik pembinaan resume berimpak tinggi, etika pemakaian profesional, serta taktik dan simulasi berkesan ketika ditemuduga.

Pengisian hari pertama menjadi lebih bermakna dengan kehadiran alumni FAST dari pelbagai latar belakang industri yang berkait rapat dengan program akademik di fakulti.
Sesi perkongsian berinspirasi ini memberikan pendedahan realistik dan ‘kabel’ pengetahuan secara terus kepada bakal graduan mengenai liku-liku sebenar dunia pekerjaan.
Berbekalkan ilmu dan keyakinan dari bengkel hari pertama, para pelajar beralih ke Pusat Konvensyen, Pagoh Higher Education Hub bagi fasa kemuncak iaitu Pameran Kerjaya (Career Fair) pada 19 Oktober.Menghimpunkan beberapa sektor industri utama, acara ini meriah dengan penyertaan wakil syarikat terkemuka.
Lebih memberikan impak, platform bersemuka ini sangat bermanfaat kepada pelajar yang sedang mencari penempatan Latihan Industri (Internship) dan Work-Based Learning (WBL) apabila mereka berpeluang menjalani sesi temuduga secara langsung bersama majikan.

Secara keseluruhannya, FAST Career Readiness 2026 telah berjaya mencapai objektif utamanya sebagai batu loncatan yang ampuh buat para graduan untuk membina jaringan profesional dengan lebih awal.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan tertinggi universiti, barisan alumni, rakan strategik (PKKA dan Yayasan UTHM) serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan inisiatif berimpak tinggi ini.













