Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah
KUALA NERUS, 3 Nov – Penggunaan teknologi pintar termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik dan teknologi digital dijangka terus mengubah industri maritim, namun peranan pelaut masih penting dalam memastikan keselamatan serta kelancaran operasi perkapalan.
Perkara itu antara fokus utama program Seafarer Real Talk: Latest Issues in Maritime Industry and How to Take Advantage of Them yang berlangsung hari ini, dengan menampilkan Profesor Pelawat Prof. Dr. Zhang Qiang dari Shandong Jiaotong University, China.

Program yang berlangsung dari 9 pagi hingga 12 tengah hari itu turut membincangkan perkembangan teknologi perkapalan pintar serta cabaran pelaksanaan kapal autonomi atau Maritime Autonomous Surface Ships (MASS) dalam industri maritim.
Antara cabaran utama yang dikenal pasti dalam pembangunan kapal autonomi ialah keselamatan siber, sistem komunikasi, keperluan kawal selia, pengujian teknologi serta jaminan keselamatan operasi.
Perkembangan teknologi berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai perubahan skop tugas dan tanggungjawab pelaut pada masa hadapan, khususnya apabila sebahagian tugas rutin berpotensi dilaksanakan menerusi sistem automasi.

Bagaimanapun, kemahiran manusia masih diperlukan dalam aspek tindak balas kecemasan, pembuatan keputusan, penilaian risiko serta pemikul tanggungjawab bagi memastikan operasi kapal berjalan dengan selamat.
Program itu turut menekankan kepentingan memperkukuh latihan dan pembangunan kompetensi pelaut bagi memastikan tenaga kerja maritim bersedia menghadapi perubahan teknologi.

Selain itu, pembangunan sistem pintar, pengukuhan peraturan maritim serta peningkatan kerjasama antara kapal dengan pusat kawalan di darat turut dikenal pasti sebagai antara langkah penting dalam menyokong perkembangan industri berkenaan.
Perbincangan itu memberi tumpuan kepada keperluan industri maritim untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, di samping memastikan aspek keselamatan, kecekapan operasi dan keupayaan sumber manusia terus diberi perhatian.













