Advertisement

DEPIKIR UTM UKIR KEJAYAAN MEMBANGGAKAN DI ARENA DEBAT DAN PENGUCAPAN AWAM

Oleh : Muhammad Haziq Aiman bin Hairul Nizam

Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis (DEPIKIR) terus mengorak langkah cemerlang dalam memperkasakan ketajaman intelektual mahasiswa dalam berhujah menerusi penyertaan aktif dalam pelbagai pertandingan debat dan pidato sepanjang tahun 2026. Berbekalkan semangat juang yang tinggi, kemahiran berhujah serta keupayaan berfikir secara kritis, kelab ini telah berjaya meraih pelbagai pencapaian membanggakan di peringkat kebangsaan, sekali gus mengharumkan nama UTM.

Pasukan UTM berjaya meraih gelaran Naib Johan & Tempat ke-6 dalam Pertandingan Debat Piala Presiden Majlis Belia Malaysia 2026 bertempat di Auditorium SPRM. Dari kiri atas : Muhammad Aiman Haziq (SPACE), Muhammad Amir El-Hadi (FSSH),  Elysha Umaira (FKA). Dari kiri bawah : Muhammad Farid (FS), Muhammad Aniq Syameer (FKM)

Kejayaan terbaharu kelab DEPIKIR yang mencuri perhatian adalah pencapaian mereka dalam Pertandingan Debat dan Pidato Suara Cendekia 2026 anjuran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Pertandingan yang berlangsung secara dalam talian pada 3 hingga 4 Oktober 2026 sebelum diteruskan di UTHM pada 27 Oktober 2026 itu menyaksikan Muhammad Afnan bin Afian daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) berjaya meraih gelaran Naib Johan bagi kategori pidato. Turut mencatatkan kejayaan ialah Muhammad Aiman Haziq bin Hairul Nizam daripada Fakulti SPACE yang berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 Pendebat Terbaik Pertandingan.

Pasukan UTM berjaya meraih tempat kedua dan 10 Pendebat terbaik dalam Pertandingan Debat dan Pidato Suara Cendekia 2026 bertempat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Dari kiri : Muhammad Afnan (FKE) & Muhammad Aiman Haziq (SPACE)

Kecemerlangan kelab turut terserlah menerusi penyertaan dalam Pertandingan Debat Piala Presiden Majlis Belia Malaysia 2026 anjuran Majlis Belia Malaysia. Pertandingan yang berlangsung secara dalam talian pada 10 Oktober 2026 dan diteruskan di Auditorium SPRM, Presint 7, Putrajaya pada 18 Oktober 2026 itu menyaksikan dua pasukan yang diwakili oleh ahli kelab berjaya mencipta pencapaian tersendiri. Pasukan c yang diwakili oleh Muhammad Aniq Syameer bin Syaharudin daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Muhammad Farid bin Mohd Isa daripada Fakulti Sains (FS) berjaya muncul sebagai Naib Johan. Sementara itu, pasukan Gerakan Belia 4B Johor Pulai Ria (B) yang diwakili oleh Muhammad Amir El-Hadi bin Marzuki daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Muhammad Aiman Haziq bin Hairul Nizam (SPACE) dan Elysha Umaira binti Mohd Saifullah daripada Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) turut menunjukkan prestasi membanggakan apabila berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir.

Kelab DEPIKIR berjaya mencipta satu lagi kejayaan gemilang menerusi Pertandingan Debat Terbuka ASTAR Edisi Ke-27 yang berlangsung pada 25 hingga 26 April 2026 bertempat di Universiti Malaya (UM). Pasukan yang diwakili oleh Muhammad Hazeeq Aiman bin Zainal ‘Abiddin daripada Fakulti Komputeran (FC), Muhammad Afnan bin Afian (FKE), Muhammad Amir El-Hadi bin Marzuki (FSSH) dan Faris Imran bin Yuseffenndy (FKM) berjaya merangkul gelaran Johan bagi Kategori Muda. Lebih membanggakan, Muhammad Hazeeq Aiman turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Akhir, manakala Muhammad Afnan berjaya tersenarai dalam antara 10 Pendebat Terbaik Liga. Kejayaan ini membuktikan kemampuan ahli kelab untuk bersaing secara kompetitif dalam arena debat.

Pasukan UTM berjaya meraih gelaran Johan dalam Pertandingan Debat Terbuka ASTAR Edisi Ke-27 bertempat di Universiti Malaya. Dari kiri : Muhammad Hazeeq Aiman (FC), Muhammad Afnan (FKE), Muhammad Amir El-Hadi (FSSH), Faris Imran (FKM)

Selain kejayaan dalam pertandingan debat, bakat pengucapan awam ahli kelab turut menyerlah menerusi Pertandingan Pidato Kebangsaan Bahasa Melayu (PKBM) yang berlangsung pada 11 hingga 12 April 2026 di UniKL British Malaysian Institute. Dalam pertandingan tersebut, Muhammad Afnan bin Afian (FKE) berjaya memperoleh Tempat Ketiga, sekali gus menambah koleksi pencapaian individu beliau dalam bidang pidato dan pengucapan awam.

Muhammad Afnan (FKE) berjaya meraih tempat ke-3 dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) bertempat di UniKL British Malaysian Institute

Di samping pencapaian tersebut, Kelab DEPIKIR turut memperluas pengalaman serta menguji kemampuan ahli melalui penyertaan dalam beberapa pertandingan berprestij yang lain, antaranya Pertandingan Debat Alam Sekitar Edisi Ke-32, Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2026, Pertandingan Debat Piala Ketua Audit Negara 2026 dan Pertandingan Debat Statistik. Penyertaan ini menjadi platform penting untuk ahli kelab menimba pengalaman, memperkukuh kemahiran analisis serta meningkatkan keupayaan menyampaikan hujah berdasarkan fakta dan pemikiran yang rasional.

Kesimpulannya, pencapaian yang diraih sepanjang tahun 2026 mencerminkan komitmen, dedikasi dan kesungguhan seluruh warga kelab dalam membentuk mahasiswa yang berani menyuarakan pandangan, bijak mengolah hujah, serta matang dalam menilai sesuatu isu. Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diucapkan kepada semua peserta, ahli kelab, serta pihak yang sentiasa memberikan sokongan dalam menjayakan setiap penyertaan dalam pertandingan. Semoga segala kejayaan yang dikecapi menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih gemilang serta menyemarakkan budaya ilmu, wacana, dan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa pada masa hadapan.

Total Views: 7