Berita oleh: Anis Zulaikha Kamal
Gambar: Dr. Fikriyah Abdullah dan Siti Fatimah Abdullah
SINTOK – Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah membuka kaunter Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) di Dewan Tan Sri Othman (DTSO) bermula 27 Oktober lalu sempena Minggu Pengambilan Jubah Konvokesyen UUM.
Pembukaan kaunter ini bertujuan membantu graduan yang masih belum melengkapkan pengisian SKPG, sekali gus memastikan maklumat berkaitan status pekerjaan dan kebolehpasaran graduan dapat dikumpulkan dengan lebih menyeluruh.
Sehingga 3 November 2026, seramai 5,815 daripada 6,332 graduan UUM yang berkonvokesyen pada tahun ini telah melengkapkan pengisian SKPG, iaitu sebanyak 91.84 peratus. Pencapaian ini menunjukkan komitmen graduan dalam memberikan maklum balas bagi menyokong usaha universiti memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan.

Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, pengisian SKPG amat penting bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai tahap kebolehpasaran graduan baharu serta memahami isu-isu berkaitan pekerjaan yang dihadapi oleh graduan selepas menamatkan pengajian.
“Maklumat yang dikumpulkan melalui SKPG bukan sahaja membantu universiti mengenal pasti status pekerjaan dan majikan graduan, malah turut memberikan maklum balas penting berkaitan kualiti program pengajian, tenaga pengajar, infrastruktur dan prasarana institusi.
“Data ini juga menjadi sumber rujukan penting kepada pihak kerajaan dalam membuat keputusan serta menggubal dasar berkaitan pekerjaan graduan berasaskan fakta dan maklumat yang tepat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama graduan dalam melengkapkan SKPG amat penting bagi memastikan data yang diperoleh dapat mencerminkan situasi sebenar kebolehpasaran graduan UUM dan menjadi asas kepada penambahbaikan berterusan dalam pembangunan pendidikan tinggi.

Operasi kaunter SKPG ini turut dibantu oleh sepuluh (10) orang pelajar Job On Campus (JOC) yang bertugas memberikan panduan dan membantu graduan melengkapkan pengisian SKPG. Para pelajar ini bertugas di bawah seliaan Siti Fatimah Abdullah, Penolong Pegawai Tadbir PPKKG, bagi memastikan urusan pengisian SKPG berjalan lancar dan teratur sepanjang tempoh pembukaan kaunter.
Usaha ini diharap dapat meningkatkan kadar pengisian SKPG serta menyokong aspirasi UUM dalam melahirkan graduan yang berkualiti, kompetitif dan memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.












