Oleh : Zainuddin, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi
KUALA LUMPUR, 20 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pusat Hidrografi Nasional (PHN) terus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang hidrografi, sains geospatial marin dan pemetaan dasar laut menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersempena penganjuran The Nippon Foundation–GEBCO Seabed 2030 Indo-Pacific Ocean Mapping Meeting & Data Sprint 2026.
Majlis pemeteraian tersebut telah ditandatangani oleh Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) mewakili UTM bersama Laksamana Muda Dr. Najhan Md Said, Ketua Pengarah PHN dan disaksikan oleh Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Laut Malaysia.

Kerjasama UTM–PHN yang telah terjalin sejak 1995 mencerminkan komitmen jangka panjang kedua-dua institusi dalam membangunkan kepakaran hidrografi negara. Kerjasama ini merangkumi pendidikan dan latihan profesional, pembangunan modal insan, pengajian pascasiswazah, perkongsian kepakaran serta pelaksanaan penyelidikan dan inovasi bersama.
Antara inisiatif terdahulu ialah program profesional UTM HYDRO I, UTM HYDRO II, UTM CARTO I dan UTM HYDRO III yang menyumbang kepada pembangunan tenaga pakar dalam bidang ukur hidrografi dan kartografi marin.
Menariknya, Laksamana Muda Dr. Najhan Md Said juga merupakan alumni UTM pada peringkat sarjana dan doktor falsafah. Perkara ini memperlihatkan peranan universiti dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang seterusnya menyumbang kepada kepimpinan dan pembangunan kepakaran strategik negara.
Kepentingan kerjasama ini semakin terserlah apabila Malaysia terus memperkukuh keupayaan pemetaan dasar laut bagi memenuhi keperluan keselamatan, pembangunan maritim dan penyelidikan saintifik. Menurut laporan Kosmo Online pada 20 Oktober 2026, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menerima dua kapal ukur hidrografi baharu jenis Survey Motor Launch (SML) menerusi peruntukan Belanjawan 2027.
Kapal tersebut dijangka meningkatkan keupayaan operasi pengukuran hidrografi, khususnya di kawasan perairan cetek. Sementara itu, pengukuran di perairan dalam dan terbuka akan diteruskan menggunakan KD Perantau serta kapal sewaan.

Malaysia menyasarkan pemetaan dasar laut negara diselesaikan sebelum 2050. Pemetaan yang menyeluruh dan tepat amat penting untuk memahami bentuk muka bumi dasar laut, meningkatkan keselamatan pelayaran, menyokong navigasi kapal serta memperkukuh pengurusan sumber marin.
Data hidrografi juga menjadi asas penting kepada perancangan pembangunan infrastruktur maritim, penyelidikan oseanografi dan pengurusan kawasan pesisir pantai secara mampan.
Dalam konteks tersebut, pemeteraian MoU UTM–PHN menyediakan landasan untuk memperluas penyelidikan bersama, perkongsian data dan kepakaran serta pembangunan teknologi pemetaan marin. Gabungan kepakaran akademik UTM dengan pengalaman operasi PHN berpotensi menghasilkan penyelesaian berasaskan sains dan teknologi yang memenuhi keperluan sebenar negara.
Kerjasama ini juga membuka peluang kepada penyelidik dan pelajar pascasiswazah untuk terlibat secara langsung dalam penyelidikan berimpak tinggi serta pembangunan teknologi hidrografi.

Selain menyokong keselamatan maritim, inisiatif ini turut menyumbang kepada agenda ekonomi biru melalui penggunaan sumber laut secara bertanggungjawab, pemeliharaan ekosistem marin dan pembangunan aktiviti ekonomi berasaskan lautan.
Usaha memperkukuh penyelidikan saintifik marin juga berkait rapat dengan perancangan pemerolehan Kapal Penyelidikan Nasional pertama Malaysia yang berpotensi memperluas keupayaan negara dalam menjalankan kajian oseanografi dan penyelidikan marin.
Penganjuran Seabed 2030 yang menghimpunkan lebih 30 delegasi antarabangsa turut menyediakan platform untuk memperluas jaringan kerjasama penyelidikan dan pertukaran pengetahuan di peringkat global. Penyertaan ini mengukuhkan kedudukan UTM dalam ekosistem penyelidikan marin antarabangsa, di samping membuka ruang kepada kolaborasi rentas institusi dan negara.
Secara keseluruhannya, kerjasama UTM–PHN mencerminkan komitmen kedua-dua institusi untuk memperkasa keupayaan hidrografi negara melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi. Usaha ini selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi dan penyelesaian teknologi lestari demi kepentingan negara serta komuniti antarabangsa.
Sumber : UTM NewsHub















