
SEPANG – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkenalkan USIMPay, platform pembayaran digital bersepadu yang dibangunkan bagi memudahkan urusan transaksi secara lebih pantas, selamat dan efisien, sempena The 12th Islamic Banking, Accounting and Finance International Conference (iBAF 2026) di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA pada hari ini 9 September 2026. USIMPay dibangunkan menerusi inisiatif Payment Service Agent (PSA) Bank Islam Malaysia Berhad dengan kerjasama USIM PACE serta penglibatan kepakaran akademik daripada Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dalam bidang kewangan Islam, teknologi dan penyelesaian digital.
Berbeza daripada sistem yang hanya menumpukan pemprosesan transaksi, USIMPay membawa konsep payment ecosystem yang fleksibel bagi menyokong pelbagai model kutipan dan pembayaran serta boleh diintegrasikan dengan aplikasi dan sistem digital sedia ada. Timbalan Pendaftar USIM PACE, Ashikin Abdullah berkata, USIMPay merupakan projek PSA hasil kerjasama USIM dan Bank Islam yang membolehkan universiti bertindak sebagai penghubung antara peniaga dengan sistem transaksi serta mengurus transaksi kewangan melalui platform berkenaan.

“USIMPay merupakan satu usaha dan inisiatif USIM dalam membangunkan sebuah platform bagi memudahkan transaksi antara peniaga dengan sistem tersebut,” katanya. Projek yang dikendalikan oleh pensyarah FEM diketuai Profesor Madya Dr. Khairil Faizal Khairi bersama pasukannya itu menyasarkan peluasan penggunaan kepada lebih ramai peniaga di seluruh Malaysia sebelum dikembangkan ke peringkat antarabangsa.
Selain transaksi komersial, USIMPay turut berpotensi diterapkan dalam bidang kewangan Islam dan kewangan sosial Islam serta diperluas penggunaannya kepada institusi, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor lain yang mempunyai keperluan transaksi khusus.















