SINTOK — Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar satu lagi kejayaan di persada antarabangsa apabila tiga pelajar daripada Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) berjaya merangkul tiga kedudukan tertinggi pada pertandingan akhir P2A AI Education 2026: AI in Healthcare (Imaging, Diagnosis, and Beyond) yang bersiaran secara maya pada 30 Oktober 2026.
Pertandingan berprestij berdurasi lapan minggu yang dianjurkan oleh Passage to ASEAN (P2A) itu menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai bidang merentasi lima negara ASEAN iaitu Malaysia, Myanmar, Filipina, Vietnam, dan Indonesia. Berteraskan konsep No-Code dan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL), para peserta dicabar menggalas peranan sebagai AI Architect serta Product Manager bagi menghasilkan solusi inovatif mendepani isu-isu kritikal sektor kesihatan.
Pada sesi akhir yang melibatkan pembentangan video dan sesi soal jawab bersama juri antarabangsa, ketiga-tiga wakil UUM yang menyertai kumpulan masing-masing telah cemerlang memartabatkan nama universiti:
• Muhammad Danish Haikal Bin Mohd Hafzanizam – Team 16 (OmniFlow) Gold Award 🥇
• Adlina Mahirah Binti Mahadi – Team 15 (ResponSEA Care) Silver Award 🥈
• Rabiatul Adawiyah Binti Azrin – Team 8 (AIRS+) Bronze Award 🥉



Program yang bermula secara rasmi pada 11 September 2026 ini dibimbing oleh barisan pakar antarabangsa yang diketuai oleh Prof. Trung Q. Duong, seorang pakar terkemuka dari Memorial University (Kanada) dan Queen’s University Belfast (UK).
Sepanjang tempoh tersebut, para peserta telah membimbing penghasilan dokumen AI Concept & Integration Brief bagi menyelesaikan masalah perubatan dunia sebenar tanpa memerlukan kod pengaturcaraan yang kompleks.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Pusat Pengajian Pengkomputeran, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fadli Zolkipli meluahkan rasa bangga atas pencapaian tersebut. Menurut beliau, kejayaan ini membuktikan ketajaman pemikiran strategik serta kebolehan daya saing pelajar SOC, UUM di peringkat serantau dalam mendayagunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) demi kesejahteraan sejagat.
Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan UUM sebagai sebuah institusi unggul yang terus melahirkan graduan berdaya cipta tinggi, kalis masa depan dan mampu memimpin inovasi di peringkat ASEAN.













