Berita dan gambar oleh: Anis Zulaikha Kamal
MELAKA, 27 Oktober 2026 – Seramai 31 pelajar tahun akhir Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghadiri Majlis Perasmian Penutup Jelita Open Day: 12 Hours Sprint Training dan Karnival Kerjaya yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Program JELITA menerusi inisiatif Latihan Pecutan Intensif 12 Jam menjadi antara platform memperkasa wanita dengan kemahiran berasaskan industri bagi meningkatkan peluang pekerjaan, pendapatan dan mobiliti sosial. Majlis perasmian penutup ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Program ini turut menampilkan pameran kerjaya yang melibatkan penyertaan pihak industri, sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan, mengenali keperluan majikan serta memahami prospek kerjaya dalam pelbagai sektor. Pendedahan secara langsung ini membolehkan pelajar berinteraksi dengan wakil industri dan memperluas jaringan profesional sebagai persediaan memasuki pasaran kerja.

Penyertaan pelajar UUM dalam program ini merupakan satu inisiatif Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dalam memperluas peluang pembangunan kerjaya pelajar serta mempersiapkan mereka menghadapi alam pekerjaan yang semakin kompetitif di samping dapat membantu pelajar membina keyakinan, memperluas jaringan profesional dan memahami keperluan semasa industri.
Penglibatan pelajar tahun akhir dalam program ini selaras dengan usaha UUM melalui PPKKG untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kemahiran insaniah, daya saing dan kebolehpasaran yang tinggi.
Melalui penyertaan ini, PPKKG berharap para pelajar dapat memanfaatkan peluang yang disediakan untuk meningkatkan kompetensi diri, memperkukuh persediaan kerjaya dan membina langkah awal ke arah kejayaan dalam dunia pekerjaan.













