Teks/foto: Sekretariat Martabat Pantun Melayu (SEMPANA) Universiti Sains Malaysia
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

PULAU PINANG, 2 November 2026 – Sekretariat Martabat Pantun Melayu (SEMPANA) Universiti Sains Malaysia mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul Anugerah Khas Juri selain dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik Keseluruhan pada Temasya Pantun Kaunseling dan Kesihatan Mental (TEPAKK) x Sistem Kesihatan KPJ 2026.
Berlangsung selama empat hari bermula 23 Oktober 2026 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kampus Gombak, pertandingan tersebut menyaksikan pasukan SEMPANA USM menyerlah menerusi persembahan jualan dan belian pantun yang mantap, kreatif serta menampilkan kehalusan seni bahasa sehingga berjaya memikat perhatian barisan juri.
Kejayaan pasukan turut diserikan dengan pengiktirafan terhadap Muhammad Syawwal Radzi, pelajar Tahun 3 Pusat Pengajian Sains Fizik USM, yang dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik Keseluruhan hasil keupayaan mengolah pantun secara kreatif dan berkesan berlandaskan tema pertandingan, “Kesenian Penyembuh Jiwa”.


Pencapaian tersebut merupakan hasil bimbingan Encik Murshid Md Hussin, Pegawai Kebudayaan, Sektor Pengkayaan Bakat Seni dan Budaya, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, dengan sokongan Encik Muhamad Shamsuri Hashim, alumni USM yang bertindak sebagai penasihat luar.
Persiapan dan kecemerlangan pasukan turut diperkasakan menerusi komitmen barisan jurulatih, Puan Syuhaira Afiah dan Encik Amirul Zikri, serta sokongan padu Dr. Mahathir Yahaya, Penggawa Desasiswa Saujana merangkap Pegawai Pengiring sepanjang penyertaan dalam pertandingan tersebut.
Kejayaan ini membuktikan bahawa seni pantun Melayu terus mempunyai ruang untuk berkembang sebagai wadah ekspresi intelektual dan kreativiti mahasiswa, sekali gus memperkukuh usaha USM memelihara warisan sastera tradisional serta memanfaatkan kesenian sebagai medium penyampaian mesej berkaitan kesihatan mental.














