Advertisement

2NDBASE Production Ungguli Pertandingan Filem Pendek ‘Satu Mangkuk, Seribu Cerita’, Rangkul Tiga Anugerah – MySiswaNow

Berita dan Gambar oleh: Muhammad Danish Bin Mustapa

SINTOK, 12 Oktober 2026 – Kumpulan 2NDBASE Production dari Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Filem Pendek “Satu Mangkuk, Seribu Cerita” menerusi karya bertajuk “Waktu Ada”, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 serta dua anugerah khas, iaitu Best Cinematography dan Most Emotional Video.

Majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif First Grade Resources Sdn. Bhd., Mukhlis Zulkifli, yang turut merasmikan majlis berkenaan.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin bin Mohd Sani, bersama barisan penjawat dan pensyarah  Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC).

Pertandingan anjuran Jawatankuasa Pembangunan Pelajar SMMTC dengan kerjasama Tok Babah (First Grade Resources Sdn. Bhd.) merupakan antara inisiatif yang memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang komunikasi, multimedia serta penerbitan kandungan kreatif melalui penghasilan filem pendek.

Kemenangan 2NDBASE Production yang memperoleh markah keseluruhan tertinggi sebanyak 94.03 peratus membuktikan kemampuan mahasiswa UUM menghasilkan karya berkualiti yang menggabungkan kekuatan penceritaan, kreativiti visual dan penghayatan emosi.

Kumpulan tersebut dianggotai oleh Nur Afiqah binti Mustafa selaku ketua kumpulan bersama Muhammad Alfian Haikal bin Hafidzi, Aini Sofiya Nazifa binti Arzehar, Muhammad Mir Haqqi bin Mohd Hairul dan Muhammad Aiman Farhani bin Serif.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Stella Production menerusi filem “Menanti”, manakala OSCARS menduduki tempat ketiga melalui karya “Kasih Tanpa Suara”. Tempat keempat dan kelima masing-masing menjadi milik Mystic Falls Productions dan Dream Frame.

Bagi kategori anugerah khas, Dream Frame turut meraih Best Storytelling & Creativity, manakala “Kasih Tanpa Suara” memenangi kategori Most Engagement – YouTube dan “Menanti” bagi kategori Most Engagement – TikTok.

Menurut Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad, penganjuran pertandingan seumpama ini merupakan pendekatan strategik pusat pengajian dalam memperkukuhkan pembelajaran berasaskan pengalaman serta merapatkan hubungan antara universiti dengan pihak industri.

“Pertandingan ini bukan sekadar medan untuk mahasiswa mempamerkan kreativiti, tetapi turut memberi peluang kepada mereka memahami proses penerbitan sebenar, bermula daripada pembangunan idea, penulisan skrip, penggambaran sehinggalah kepada penyuntingan dan penyampaian mesej kepada khalayak.

“Kerjasama bersama pihak industri seperti Tok Babah amat penting bagi memastikan mahasiswa mendapat pendedahan terhadap standard, jangkaan dan keperluan industri kreatif yang sentiasa berkembang,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada First Grade Resources Sdn. Bhd., khususnya Tok Babah, atas kesediaan menjalinkan kerjasama strategik dengan SMMTC dalam menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk menyerlahkan bakat serta potensi mereka.

Katanya, SMMTC akan terus mempergiatkan program pembangunan bakat dan kerjasama industri bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan akademik, malah berkemahiran, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Pertandingan yang menghimpunkan 14 kumpulan penyertaan itu turut menjadi platform bagi menggalakkan penghasilan kandungan kreatif yang mempunyai nilai kemanusiaan, mesej bermakna serta keupayaan menyentuh emosi masyarakat.

Pembaca yang ingin menyaksikan karya “Waktu Ada” terbitan 2NDBASE Production, yang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Filem Pendek “Satu Mangkuk, Seribu Cerita”, boleh menonton video tersebut menerusi pautan berikut: https://www.facebook.com/share/v/19VhzzSg5y/

Total Views: 1