PEKAN – Tiga pemimpin mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai Program Multaqa Kepimpinan Siswa Masjid MADANI IPTA Malaysia 2026 (MUQIM 2026) yang berlangsung selama tiga hari, bermula 23 hingga 25 Oktober 2026, bertempat di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan, Pahang.

Penyertaan tersebut melibatkan Muhammad Aliff Amzar bin Paizom, Presiden Sekretariat Pusat Islam (SPI); Muhammad Aqmar Aziz bin Norazam, Presiden Rakan Siswa YADIM (RSY); dan Muhammad Hazim bin Mohamad Badrulzaman, Presiden Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM). Ketiga-tiga sekretariat ini berada di bawah kelolaan Pusat Islam USIM. Turut mengiringi mereka ialah pegawai Pejabat Pusat Islam USIM, En. Ahmad Zahid. Turut hadir pada hari kedua program, 24 Oktober 2026, ialah Pengarah Pusat Islam USIM, En. Razman bin Ibrahim, sebagai tanda sokongan terhadap penglibatan mahasiswa dalam memperkukuh kepimpinan masjid serta memperluas jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi.
MUQIM 2026 membuka peluang kepada ketiga-tiga pemimpin mahasiswa ini untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta memperluas jaringan kerjasama bersama pemimpin mahasiswa masjid daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di Malaysia. Program ini turut menjadi medan untuk memperkukuh kefahaman mengenai peranan masjid sebagai pusat ilmu, dakwah, pembangunan sahsiah dan khidmat kepada masyarakat.

Melalui penyertaan ini, ketiga-tiga presiden diharapkan dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh bagi memperkasa gerak kerja sekretariat masing-masing, khususnya dalam merancang program dakwah, mengimarahkan masjid serta meningkatkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti keilmuan, kesukarelawanan dan kebajikan.
Penglibatan ini mencerminkan komitmen kepimpinan mahasiswa USIM dalam memperkukuh peranan masjid sebagai nadi pembangunan generasi muda, sekali gus menyumbang kepada pembentukan pemimpin yang berilmu, berintegriti dan berjiwa khidmat demi kesejahteraan ummah.
Oleh: Nur Farhana Rosli, Pusat Islam












