KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperhebat usaha mempromosikan portal berita MySiswaNow sebagai platform penyampaian maklumat, aktiviti dan kisah inspirasi warga kampus.

Langkah berkenaan dilaksanakan menerusi beberapa strategi, termasuk mempromosikan pautan MySiswaNow melalui pengiklanan elektronik di seluruh kampus, sekali gus memudahkan mahasiswa dan warga universiti mendapatkan akses kepada pelbagai kandungan terkini.

Selain itu, UniSZA turut membentuk kelompok pemberita sambilan di setiap jabatan bagi memperluas liputan berita dan memastikan pelbagai aktiviti serta pencapaian warga universiti dapat diketengahkan secara lebih menyeluruh.

Dalam masa sama, komuniti setempat turut diberi ruang untuk berperanan sebagai wartawan bebas, sekali gus membuka peluang kepada mereka menghasilkan kandungan, berkongsi perspektif dan merapatkan ukhwah dengan lebih cemerlang di sekitar kampus.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen UniSZA untuk membangunkan ekosistem media kampus yang lebih aktif dengan warga kampus dan komuniti bukan sahaja sebagai pembaca, malah turut menjadi pencipta dan penyampai kandungan.
Demi UniSZA!











