Advertisement

UniMAP PERKASA KEMENJADIAN MAHASISWA MELALUI PENGLIBATAN AKTIF

Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan

PAUH PUTRA, 27 September 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh usaha membentuk mahasiswa yang seimbang melalui penglibatan aktif dalam pelbagai program dan aktiviti universiti, selaras dengan aspirasi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah matang dalam pemikiran, beradab dan mempunyai kemahiran insaniah.

Timbalan Naib Canselor (HEPA) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, kehidupan di universiti merupakan ruang penting untuk mahasiswa membina pengalaman, mengenali potensi diri serta mengembangkan kebolehan di luar bilik kuliah.

“Pelajar perlu mempunyai kematangan berfikir dan memahami bahawa kehidupan di universiti bukan hanya tentang pencapaian di dalam kelas. Mereka juga perlu membina adab, kemahiran insaniah, kepimpinan serta kemampuan untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai @ HEPA sempena Minggu Suai Kenal (MSK) Sarjana Muda Sidang Akademik 2026/2027 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, di sini.

Menurut beliau, pelaksanaan Merit HEPA mulai Sidang Akademik 2026/2027 merupakan antara pendekatan universiti bagi menggalakkan mahasiswa melibatkan diri secara aktif dalam kehidupan kampus.

“Merit HEPA bukan satu bentuk denda, tetapi satu platform untuk membuktikan kebolehan pelajar serta membangunkan potensi diri melalui penglibatan dalam program dan aktiviti universiti.

“Kita mahu melahirkan pelajar yang bukan sahaja pandai di dalam kelas, tetapi juga mampu membawa ilmu, nilai dan kemahiran tersebut dalam kehidupan sebenar,” katanya.

Tambah beliau, penglibatan aktif mahasiswa amat penting dalam membentuk budaya kebersamaan, khususnya apabila sebahagian besar mahasiswa bakal menetap di kolej kediaman.

“Apabila kita tinggal dalam satu komuniti, kita perlu memahami konsep saling memerlukan. Kita adalah satu keluarga UniMAP dan setiap pelajar mempunyai peranan untuk mewujudkan suasana kampus yang positif, aktif dan saling menyokong,” katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UniMAP telah merancang pelbagai program berimpak meliputi aspek kepimpinan, kesukarelawanan, kebudayaan, sukan, keusahawanan dan pembangunan sahsiah bagi memberi ruang kepada mahasiswa meneroka potensi diri.

Beliau turut menekankan adab sebagai asas pembentukan mahasiswa, selain menggalakkan pelajar melihat setiap aktiviti universiti sebagai peluang memperoleh pengalaman, membina keyakinan diri dan mengembangkan kemahiran insaniah.

Program Santai @ HEPA turut memberi peluang kepada mahasiswa baharu mengenali dengan lebih dekat peranan HEPA dalam memastikan kebajikan, pembangunan sahsiah, kepimpinan, keselamatan, kesihatan, pengangkutan dan kesejahteraan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian.

Turut hadir, para Pengarah, Timbalan Dekan (HEPA) serta Pengetua-Pengetua Kolej Kediaman UniMAP.

Total Views: 113