KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2026 – Seramai 80 pelajar Fakulti Komputeran (FKC), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya memperoleh pensijilan Gemini Certified menerusi lawatan industri ke Google Malaysia, dengan kadar kejayaan 100 peratus.
Pencapaian itu menjadikan FKC sebagai fakulti pertama di UniMAP yang merekodkan seramai 80 pelajar memperoleh pensijilan berkenaan, sekali gus memperkukuh penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan mahasiswa.

Menerusi lawatan itu, para pelajar berpeluang mengikuti sesi perkongsian ilmu dan mendapatkan pendedahan mengenai perkembangan terkini teknologi AI, selain menduduki penilaian bagi memperoleh pensijilan berkenaan.
Program itu turut memberi peluang kepada mahasiswa memahami aplikasi AI dalam pelbagai bidang serta kepentingan penguasaan kemahiran digital bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang seiring transformasi teknologi.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen UniMAP dalam memperkukuh hubungan strategik dengan industri teknologi global, khususnya bagi menyediakan peluang pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
FKC turut merakamkan penghargaan kepada Google Malaysia atas kesudian menerima kunjungan delegasi universiti itu serta menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada para pelajar.

Kerjasama seumpama itu diharap dapat diteruskan bagi memperluas peluang pembangunan kemahiran digital, penerapan AI dan perkongsian kepakaran industri, sekali gus melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran pekerjaan masa hadapan.















