Oleh : Dr. Noradina Nordin
PAUH PUTRA, 31 Oktober 2026 — Seramai 561 pengunjung menyertai UniMAP HEALTHFEST 2026 anjuran Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan serta menggalakkan penerapan teknologi dan inovasi dalam bidang berkenaan.
Program bertemakan “Bridging Wellness and Technology” itu berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, dengan kerjasama Program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN) serta Sports Engineering Research Centre (SERC) UniMAP.

Antara pencapaian utama program ialah pelaksanaan saringan kesihatan terhadap 118 peserta, kutipan 51 beg darah menerusi kempen derma darah dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Tuanku Fauziah (HTF) serta pendaftaran 26 penderma organ.
Program itu turut menyediakan pelbagai aktiviti termasuk pemeriksaan mata, konsultasi kesihatan, pameran pendidikan kesihatan dan aktiviti kesedaran berkaitan kesejahteraan diri dengan penglibatan beberapa agensi serta rakan strategik.
Pengisian ilmu turut diperkukuh menerusi ceramah bertajuk “Obesiti: Bukan Sekadar Angka di Timbangan” oleh Dr Nurazam Omar dari Hospital Pakar KPJ Perlis, yang memberi pendedahan mengenai isu obesiti serta kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Selain itu, sesi perkongsian bersama Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Kedah diadakan bagi meningkatkan pemahaman pengunjung terhadap pengalaman dan cabaran yang dihadapi komuniti orang kurang upaya penglihatan.

Dalam aspek penyelidikan dan inovasi, HEALTHFEST 2026 turut menampilkan pertandingan melibatkan 12 produk inovasi dan 20 poster penyelidikan sebagai platform mengetengahkan hasil kreativiti, penyelidikan serta idea baharu dalam bidang kesihatan dan teknologi.
Antara agensi dan rakan strategik yang terlibat ialah Hospital Pakar KPJ Perlis, Zaharah Eyecare, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Perlis, Pusat Kaunseling UniMAP (PUSKA), Tabung Darah HTF, Pasukan Perolehan Tisu dan Organ HTF serta Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.
Penganjuran program itu turut memberi ruang kepada pelajar UniMAP yang bertindak sebagai jawatankuasa dan sekretariat untuk memperoleh pengalaman secara langsung dalam pengurusan acara, selain mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah.

Inisiatif itu mencerminkan komitmen UniMAP dalam memperkukuh promosi kesihatan, memperluas akses kepada maklumat kesihatan serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga universiti dan masyarakat.
UniMAP berharap program berkenaan dapat diteruskan dengan pengisian yang lebih meluas dan inovatif, sekali gus menjadi platform berterusan yang menghubungkan aspek kesihatan, teknologi dan kesejahteraan masyarakat.
















