Advertisement

UniMAP PERKUKUH JARINGAN KOMUNITI, MARTABAT WARISAN BUDAYA MENERUSI PULARA 2026

Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan

SERI MANJUNG, 25 Oktober 2026 — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti menerusi penyertaan dalam Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 yang berlangsung di sini dari 23 hingga 25 Okt.

Bertemakan “Mengakar Budaya, Menjulang Warisan”, festival itu menjadi platform kepada mahasiswa untuk mendekati masyarakat, memperluas pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah serta menghayati kepentingan memelihara seni dan warisan budaya.

Penglibatan UniMAP dalam festival berkenaan turut menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, yang mewakili Naib Canselor universiti itu, dilantik sebagai Ketua Kampung PULARA bagi Kampung Tanjung Kepah pada majlis perasmian di Dataran MADANI, Seri Manjung.

Mohd Mustafa berkata penglibatan mahasiswa dalam program berasaskan komuniti penting bagi membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai nilai kemanusiaan, keprihatinan sosial dan kesedaran terhadap kepelbagaian budaya.

“Universiti bukan sekadar berperanan melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik, tetapi turut bertanggungjawab membentuk mahasiswa yang memahami realiti masyarakat dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

“Melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan, mahasiswa berpeluang membina hubungan dengan masyarakat setempat, berkongsi pengetahuan serta mempelajari nilai budaya dan adat resam yang diwarisi sejak turun-temurun,” katanya.

Antara pengisian festival itu ialah bengkel penulisan puisi, program anak angkat dan kenduri rakyat yang membuka ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dengan masyarakat serta mengukuhkan semangat kebersamaan.

Program anak angkat, khususnya, memberi peluang kepada pelajar antarabangsa mengenali budaya, adat resam dan kehidupan masyarakat tempatan, sekali gus menggalakkan pertukaran budaya serta memupuk sikap saling menghormati.

Mohd Mustafa berkata seni, puisi dan lagu rakyat merupakan khazanah yang mencerminkan identiti serta nilai sesebuah bangsa, justeru usaha memeliharanya perlu diteruskan bagi memastikan warisan itu kekal relevan dan dihargai oleh generasi muda.

“Mahasiswa mempunyai peranan penting sebagai generasi pewaris yang bukan sahaja menghargai warisan budaya, malah berupaya menghidupkan dan memperkenalkannya kepada masyarakat yang lebih luas.

“Kita mahu mahasiswa menjadi penghubung antara ilmu dengan masyarakat, di samping menyemai semangat kesukarelawanan, tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap keperluan komuniti,” katanya.

Beliau berkata UniMAP akan terus memperkasa penglibatan mahasiswa dalam program kemasyarakatan sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan graduan holistik yang mempunyai kematangan kepimpinan, nilai murni dan keupayaan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Penyertaan dalam PULARA 2026 selaras dengan usaha memperkukuh hubungan universiti dan komuniti, selain menyokong pemindahan ilmu serta pemeliharaan warisan budaya untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Total Views: 14