Advertisement

Smart Hafazan Autisme: UPSI–KEMAS Bangunkan Pelan Tindakan Pendidikan Al-Quran Inklusif

BAGAN DATUK, 25 September 2026 – Bengkel Pelan Tindakan Smart Hafazan (Autisme) Tabika Tunas Istimewa@KEMAS telah dilaksanakan selama dua hari pada 24 hingga 25 September 2026 bertempat di Tabika Tunas Istimewa KEMAS, Bagan Datuk. Bengkel ini merupakan satu inisiatif rintis bagi merangka pelan tindakan pelaksanaan Smart Hafazan yang lebih sistematik, inklusif dan bersesuaian dengan keperluan pembelajaran kanak-kanak autisme.

Program ini dilaksanakan melalui kerjasama Pusat Ulul Albab, Fakulti Pembangunan Manusia, Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan KEMAS, dengan memberi fokus kepada pemerkasaan pedagogi, latihan guru, pemerhatian pengajaran dan pembelajaran (PdP), penaziran serta perancangan tindakan susulan.

Menurut Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr Sakinah Salleh, bengkel ini merupakan langkah awal untuk membangunkan pendekatan Smart Hafazan yang mengambil kira keunikan, keupayaan dan keperluan pembelajaran kanak-kanak autisme.

“Smart Hafazan bagi Tunas Istimewa bukan sekadar memberi fokus kepada keupayaan menghafaz ayat al-Quran, tetapi turut menekankan pembentukan adab, hubungan kasih sayang guru dan murid, pengukuhan positif, pengulangan secara berstruktur, penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai serta pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna,” jelas beliau.

Sepanjang dua hari bengkel, guru Tabika Tunas Istimewa terlibat dalam latihan pedagogi Smart Hafazan, simulasi dan latihan mengajar serta pemerhatian secara langsung terhadap pelaksanaan PdP. Penaziran turut memberi perhatian kepada aspek pengajaran dan pembelajaran, pengurusan kelas, interaksi guru dan murid, pengurusan tingkah laku, penggunaan bahan bantu mengajar, pengurusan masa, kaedah pengulangan hafazan serta penerapan adab terhadap al-Quran.

Selain itu, sesi perbincangan bersama guru dan ibu bapa turut dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas tentang perkembangan hafazan, respons dan pengalaman pembelajaran kanak-kanak serta bentuk sokongan yang diperlukan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran antara institusi dan rumah.

Bengkel ini turut menghasilkan beberapa fokus tindakan susulan yang merangkumi penambahbaikan strategi pedagogi Smart Hafazan, penyediaan bahan bantu mengajar yang lebih responsif terhadap keperluan kanak-kanak autisme, pengukuhan kompetensi guru, pemantauan perkembangan hafazan serta penglibatan ibu bapa secara berterusan.

Dr Sakinah turut menjelaskan bahawa pelan tindakan ini berpotensi diperkembangkan melalui integrasi Smart Hafazan 10T dan Model Ulul Albab QEI – Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik bagi membentuk pengalaman pembelajaran al-Quran yang lebih holistik. Pendekatan ini bukan sahaja memberi ruang kepada perkembangan hafazan, malah menyokong pembentukan adab, potensi diri, kemahiran kognitif dan perkembangan sosial kanak-kanak secara bersepadu.

Bengkel ini diharapkan menjadi asas kepada pembangunan Model Smart Hafazan Tunas Istimewa (Autisme) yang lebih tersusun dan boleh diperkembangkan melalui latihan profesional guru, pembangunan bahan bantu mengajar, instrumen pemantauan perkembangan, penglibatan ibu bapa serta pelaksanaan penaziran secara berterusan.

Inisiatif ini sekali gus memperkukuh usaha bersama UPSI dan KEMAS dalam memperkasa pendidikan al-Quran sejak usia awal melalui pendekatan yang inklusif, responsif dan berasaskan keperluan perkembangan kanak-kanak, selaras dengan aspirasi memperluas akses kepada pendidikan al-Quran yang berkualiti untuk semua.

Total Views: 44