Advertisement

PROGRAM ZIARAH PRIHATIN UNIMAS 2026 SANTUNI BAKAL MAHASISWA, DEKATI KELUARGA HINGGA KE PELOSOK SARAWAK

Oleh: Seksyen Kebajikan Pelajar, Pusat Khidmat Pelajar

KUCHING, 10 September 2026 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) meneruskan komitmen dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan bakal mahasiswa menerusi Program Ziarah Prihatin UNIMAS 2026, yang dilaksanakan melalui siri kunjungan ke kediaman bakal mahasiswa di beberapa lokasi sekitar Sarawak.

Program yang berlangsung pada 1, 2, 8 dan 9 September 2026 ini memberi peluang kepada pihak universiti untuk turun padang dan mendekati bakal mahasiswa yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke UNIMAS bagi Sesi Akademik 2026/2027, khususnya mereka yang memerlukan sokongan dalam membuat persediaan memasuki alam pengajian tinggi.

Inisiatif ini bukan sekadar sebuah kunjungan, malah menjadi ruang kepada pihak universiti untuk memahami dengan lebih dekat latar belakang, keadaan kehidupan serta cabaran yang dihadapi oleh bakal mahasiswa dan keluarga mereka.

Pada 1 September 2026, siri Ziarah Prihatin melibatkan kunjungan ke tiga kediaman bakal mahasiswa di Pantu, Pusa dan Gerigat.

Kunjungan pertama adalah ke Rumah Panjang Seduku Ili, Pantu, Sri Aman bagi menziarahi Nafeesa Uning Anak Pengarah, bakal mahasiswa Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM). Perjalanan kira-kira tiga jam dari UNIMAS membawa rombongan ke kawasan persisiran Batang Lupar. Nafeesa merupakan anak pertama daripada rumah panjang tersebut yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti, sekali gus menjadi inspirasi kepada komuniti setempat.

Rombongan kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kampung Tuie, Pusa bagi menziarahi Nur Raihan Hazim bin Kamizam, bakal mahasiswa Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK). Walaupun berdepan kekangan ekonomi, sokongan dan usaha keluarganya dalam memastikan anak-anak memperoleh peluang pendidikan menjadi pendorong untuk beliau meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Kunjungan seterusnya adalah ke Kampung Gerigat, Kabong bagi menziarahi Ellmisha binti Ibrahim, bakal mahasiswa Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK). Walaupun berdepan cabaran keluarga, keadaan tersebut tidak mematahkan semangat Ellmisha untuk meneruskan pengajian dan membina masa depan melalui pendidikan.

Pada 2 September 2026, siri Ziarah Prihatin diteruskan ke Sungai Passin, Sibu bagi menziarahi Alexsandro Unyang Anak Masing, bakal mahasiswa Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) yang merupakan pelajar OKU penglihatan.

Perjalanan ke kediamannya memerlukan rombongan melalui kira-kira 50 minit perjalanan di jalan ladang sebelum meneruskan perjalanan selama kira-kira 50 minit dengan menaiki bot panjang merentasi Sungai Batang Lassa.

Walaupun berdepan keterbatasan fizikal serta cabaran akses dan jarak perjalanan, Alexsandro tetap menunjukkan keazaman tinggi sehingga berjaya memperoleh tawaran melanjutkan pengajian ke UNIMAS.

Program diteruskan pada 8 September 2026, dengan siri lawatan kali ini diketuai oleh Naib Canselor UNIMAS, YBhg. Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, bersama barisan pengurusan universiti.

Turut serta ialah Dekan Fakulti Kejuruteraan, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Pengarah Pusat Khidmat Pelajar, Pengarah Arena Tun Tuanku Haji Bujang, Timbalan Pengarah Pusat Keusahawanan UNIMAS, wakil Pusat Pengajian Prasiswazah (PPPS), wakil Bahagian Endowmen dan Wakaf serta pegawai Seksyen Kebajikan Pelajar.

Kunjungan pertama adalah ke Kampung Bako Hulu bagi menziarahi Iman bin Pandi, bakal mahasiswa Fakulti Kejuruteraan. Sebagai anak nelayan dan anak bongsu dalam keluarga, Iman mencipta satu pencapaian bermakna apabila menjadi anak pertama dalam keluarganya yang berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Rombongan kemudian meneruskan kunjungan ke Kampung Bako Hilir bagi menziarahi Siti Nur Aisyah binti Johari, bakal mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Sumber yang akan mengikuti program Biologi Marin dan Air Tawar. Beliau merupakan anak nelayan yang berjaya melangkah ke alam pengajian tinggi dan bakal memulakan perjalanan baharu sebagai mahasiswa UNIMAS.

Kunjungan terakhir pada hari tersebut adalah ke Kampung Jugan, Bau bagi menziarahi Jane Catrolia Anak Jaon, bakal mahasiswa Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan. Jane mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi anak muda pertama dari kampungnya yang berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang Doktor Perubatan, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam komuniti setempat.

Ketiga-tiga kisah ini membuktikan bahawa latar belakang keluarga dan cabaran kehidupan bukan penghalang untuk mengejar cita-cita. Sebaliknya, pendidikan menjadi wadah penting dalam membuka peluang kepada generasi muda untuk membina masa depan diri, keluarga dan komuniti.

Pada 9 September 2026, program diteruskan dengan kunjungan ke tiga lagi kediaman bakal mahasiswa.

Lawatan sekali lagi diketuai oleh Naib Canselor UNIMAS, YBhg. Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, bersama Dekan Fakulti Alam Bina, Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Pengarah Pusat Khidmat Pelajar (PKP), Pengarah Arena Tun Tuanku Haji Bujang, Timbalan Pendaftar Kanan Pusat Pengajian Prasiswazah (PPPS), Timbalan Pengarah Pusat Keusahawanan UNIMAS, wakil Bahagian Endowmen dan Wakaf serta pegawai Seksyen Kebajikan Pelajar.

Kunjungan pertama adalah ke kediaman Seychelles Anak Sin Liang di Kampung Simpok, Padawan. Anak kesepuluh daripada 10 orang adik-beradik itu bakal melanjutkan pengajian dalam program Ekonomi Antarabangsa di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan. Kesungguhannya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi menjadi langkah penting dalam merealisasikan cita-cita serta membina masa depan yang lebih baik.

Beliau turut menerima Bantuan Awal Pengajian daripada UNIMAS sebagai sokongan bagi membuat persediaan untuk memulakan pengajian.

Rombongan kemudiannya menziarahi Siti Nurazizah binti Sahiri di Siburan. Beliau bakal mengikuti program Senibina di Fakulti Alam Bina dan menjadi anak pertama dalam keluarganya yang melanjutkan pengajian di UNIMAS.

Siti Nurazizah turut menerima Bantuan Awal Pengajian daripada UNIMAS bagi membantu persediaannya memasuki alam pengajian tinggi.

Lawatan seterusnya membawa rombongan ke Kampung Semera Hilir, Asajaya, bagi menziarahi Mohammad Amirul Syazuwan bin Bolhi. Anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu bakal mengikuti program Perancangan dan Pengurusan Pembangunan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Sebagai anak kepada seorang buruh, Amirul melihat peluang melanjutkan pengajian ke UNIMAS sebagai satu titik permulaan penting untuk membina masa depan yang lebih baik buat diri dan keluarganya melalui pendidikan.

Dalam usaha merealisasikan impian tersebut, beliau turut menerima Bantuan Awal Pendidikan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Yayasan Perkasa Siswa, yang diharap dapat membantu meringankan persediaannya untuk memulakan pengajian.

UNIMAS TERUS PRIHATIN DAN DEKAT DENGAN MAHASISWA

Sepanjang siri Program Ziarah Prihatin UNIMAS 2026 ini, setiap bakal mahasiswa yang diziarahi membawa kisah perjuangan dan aspirasi tersendiri. Ada yang berdepan kekangan ekonomi, cabaran keluarga, keterbatasan fizikal serta faktor geografi dan jarak perjalanan, namun kesemua mereka berkongsi tekad yang sama untuk meneruskan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.

Program Ziarah Prihatin UNIMAS 2026 mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan bakal mahasiswa sentiasa diberi perhatian. Pendekatan turun padang membolehkan pihak universiti berinteraksi secara langsung dengan bakal mahasiswa dan keluarga serta memahami keperluan sebenar mereka sebelum memulakan kehidupan sebagai warga kampus.

Inisiatif ini juga memperlihatkan bahawa peranan universiti bukan hanya menyediakan ruang untuk menimba ilmu, malah turut merangkumi usaha membina ekosistem sokongan yang prihatin dan inklusif kepada mahasiswa daripada pelbagai latar belakang.

Program Ziarah Prihatin UNIMAS 2026 bukan sekadar sebuah kunjungan, tetapi menjadi simbol bahawa UNIMAS sentiasa prihatin, dekat dan bersama mahasiswa dalam setiap langkah perjalanan mereka menuju kejayaan.

#ProgramZiarahPrihatinUNIMAS
#ZiarahPrihatinUNIMAS2026
#PelajarBaharuUNIMAS
#KebajikanPelajar
#BantuanAwalPengajian
#UNIMAS