Oleh: Farahin Binti Nasharudin, Rohaizan Ramlan
16 Jun 2026 – Kelab Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan Program Transformasi Kerjaya bagi membantu mahasiswa membuat persediaan yang lebih baik sebelum melangkah ke alam pekerjaan, khususnya dalam membina profil LinkedIn yang profesional dan menepati keperluan industri.
Program yang berlangsung di Dewan Aktiviti Kolej Kediaman Tun Fatimah dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang itu telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TDHEP), UTHM, Dr. Anim Zalina binti Azizan dan melibatkan seramai 35 orang peserta dalam kalangan mahasiswa UTHM.

Program ini dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman peserta dalam membina serta mengoptimumkan profil LinkedIn, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran dan keyakinan diri mahasiswa dalam menghadapi alam pekerjaan.
Pengisian Program Transformasi Kerjaya dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 8.30 pagi, diikuti ucapan alu-aluan oleh pengerusi program serta bacaan doa.
Seterusnya, peserta mengikuti Slot 1 yang memberikan pengenalan berkaitan platform LinkedIn oleh penceramah, Prof. Madya Dr. Khadijah binti Md Ariffin. Pengisian diteruskan dengan Slot 2 menerusi bengkel LinkedIn yang memberi pendedahan lebih mendalam kepada peserta mengenai kaedah membina profil yang sesuai dengan keperluan kerjaya dan kehendak industri.

Pada Slot 3, peserta terlibat dalam aktiviti secara hands-on dengan membuat persediaan dan penambahbaikan terhadap profil LinkedIn masing-masing. Aktiviti berkenaan memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh sepanjang sesi bengkel secara langsung.
Program turut disusuli dengan sesi soal jawab yang memberi ruang kepada peserta mendapatkan penjelasan berkaitan pembinaan profil profesional, penggunaan LinkedIn serta persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Berdasarkan aktiviti yang dijalankan, pengisian program memberikan impak yang tinggi kepada peserta dengan membantu mereka menghasilkan profil profesional dan resume yang lebih berkualiti, sekali gus meningkatkan daya tarikan mereka kepada bakal majikan.
Selain itu, program ini turut mendedahkan mahasiswa kepada kemahiran insaniah seperti inovasi, kreativiti dan pemikiran dinamik yang penting dalam menghadapi cabaran alam pekerjaan selepas tamat pengajian di UTHM.
Penganjuran program bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah turut menyumbang kepada peningkatan keterlibatan mahasiswa khususnya dalam Kelab Pengurusan Teknologi dan FPTP. Program ini juga memberikan pemahaman yang positif kepada ahli jawatankuasa serta peserta mengenai kepentingan kerjasama dalam memajukan kelab dan mencapai matlamat
bersama.
Secara keseluruhannya, Program Transformasi Kerjaya anjuran Kelab Pengurusan Teknologi (TMB) berjaya dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan serta memberikan pendedahan berguna kepada mahasiswa berkaitan persediaan kerjaya.
Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu lebih ramai mahasiswa meningkatkan kemahiran, keyakinan diri dan kebolehpasaran sebelum memasuki alam pekerjaan.













