Berita dan gambar oleh: Anis Zulaikha Kamal
SINTOK, 20 Oktober 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Finance and Banking Society (FABS) terus memperkukuh usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui penganjuran program MBSB Ignite Campus Series yang berlangsung di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen UUM, hari ini.
Program kerjasama bersama MBSB Bank Berhad ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai dunia pekerjaan, di samping membantu mereka membina jaringan profesional dan meningkatkan persediaan menghadapi alam kerjaya.
Program ini dihadiri oleh tiga wakil MBSB, iaitu Nur Syahada binti Taufek, Lead Talent Experience; Farah ‘Aainaa binti Abdul Hanif, Senior Executive Talent Experience; dan Raja Nur Ain binti Raja Mohamed Jaidi, Senior Executive, Talent Acquisition, yang mewakili Group People & Culture Division MBSB.
Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian kerjaya menerusi MBSB Career Talk yang memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai peluang kerjaya, keperluan industri dan perkembangan profesional. Sesi ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil MBSB serta mendapatkan pandangan berkaitan persediaan memasuki pasaran pekerjaan.
Selain itu, program turut menampilkan Resume Clinic dan Mock Interview Session menerusi Career Launchpad bagi membantu pelajar menambah baik resume, meningkatkan kemahiran menghadapi temu duga serta membina keyakinan diri ketika berhadapan dengan bakal majikan.
Program ini turut diserikan dengan sesi penghargaan kepada UUM MBSB NextGen Ambassador sebagai pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan mereka dalam inisiatif kerjasama antara UUM dengan MBSB. Empat pelajar yang diraikan ialah Muhammad Helmy Haqim Supari dan Muhammad Izzuan Ahmad Faudzi, pelajar Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB); Muhammad Adam Muhammad Hatta dan Amirul Asyraf Azli, pelajar Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS).
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah, berkata pendedahan secara langsung kepada industri merupakan elemen penting dalam membantu pelajar memahami keperluan sebenar dunia pekerjaan dan mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran kerjaya selepas bergraduasi.
Menurut beliau, program seumpama ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengenal pasti kekuatan diri, memperbaiki kemahiran komunikasi serta membina keyakinan dalam mempromosikan kebolehan dan potensi mereka kepada bakal majikan.
Beliau turut berharap agar pelajar dapat memanfaatkan peluang yang disediakan melalui kerjasama dengan pihak industri bagi meningkatkan kompetensi profesional, memperluas jaringan kerjaya dan merancang hala tuju kerjaya dengan lebih jelas.
Penganjuran MBSB Ignite Campus Series mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuh hubungan strategik dengan industri bagi menyediakan pengalaman pembelajaran yang relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan. Inisiatif ini diharap dapat membantu melahirkan graduan yang lebih berkeyakinan, kompeten dan bersedia memenuhi kehendak majikan.
Turut hadir dalam program ini Khairul Anuar Desa, Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) yang juga Penasihat FABS.













