23–24 September 2026 | UniCamp Merang & UniCamp Tembila
Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah berjaya menganjurkan Kem Insaniah Pelajar Baharu FBK Sesi 2026/2027 pada 23 dan 24 September 2026 bertempat di UniCamp Merang dan UniCamp Tembila, Terengganu. Program ini melibatkan seramai 413 orang pelajar baharu FBK dan bertujuan membentuk mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah, kepimpinan, kerohanian serta kemahiran bekerja dalam pasukan.

Sepanjang dua hari program, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti seperti ice-breaking, analisis SWOT, pembentangan, tazkirah, solat berjemaah, masakan survival, bina istana pasir, persembahan dan brisk walk. Aktiviti-aktiviti ini dirancang bagi memupuk nilai kerjasama, komunikasi, kreativiti, disiplin, keyakinan diri dan semangat kebersamaan dalam kalangan pelajar baharu. Program ini turut dibantu oleh 40 orang fasilitator pelajar, enam orang pegawai daripada Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta Kem Komandan, En. Mohd Nizam dan En. Zul Kamal, dalam memastikan perjalanan kem berlangsung dengan teratur dan lancar.

Kemuncak program ialah Majlis Penutup Kem Insaniah yang telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Mohd Firdaus Yahaya, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FBK. Dalam amanat penutup, beliau menekankan kepentingan membina akhlak, adab dan sahsiah yang baik seiring dengan kecemerlangan akademik. Para pelajar turut diingatkan agar sentiasa menjaga adab dengan pensyarah, pegawai, rakan serta seluruh warga universiti, di samping memanfaatkan tempoh pengajian di UniSZA untuk membangunkan potensi diri secara menyeluruh.

Pelaksanaan Kem Insaniah ini diharapkan menjadi titik permulaan yang bermakna kepada pelajar baharu FBK dalam menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti, membina jaringan persahabatan serta mengembangkan potensi diri sebagai mahasiswa yang berilmu, berdisiplin dan berakhlak mulia.
Selamat datang ke Keluarga Besar Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA.
















