oleh: Hafiz Abd Manap & Shahrulnizam Azman
Tanjong Malim, 26 Ogos 2026 – Dapur Siswa MADANI@KUO terus memperlihatkan komitmennya dalam menyokong kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa melalui pelaksanaan Gotong-royong Saji Komuniti Siswa yang turut disusuli dengan Lawatan Auditor Dapur Siswa MADANI pada hari ini.
Program yang berlangsung di Dapur Siswa MADANI@KUO, Blok 5, Kolej Ungku Omar (KUO) itu menghimpunkan warga kolej dan sukarelawan dalam suasana penuh kebersamaan serta semangat kesukarelawanan.
Aktiviti gotong-royong tersebut memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan, pengemasan dan penyusunan ruang dapur, termasuk memastikan kawasan penyediaan makanan berada dalam keadaan bersih, teratur dan selesa. Aktiviti seumpama ini penting bagi memastikan kemudahan Dapur Siswa MADANI@KUO sentiasa berada pada tahap yang baik dan dapat digunakan dengan selamat oleh mahasiswa.

Pada masa yang sama, program turut menerima kunjungan pihak auditor Dapur Siswa MADANI yang hadir bagi melihat dan menilai secara lebih dekat pelaksanaan serta pengurusan operasi dapur ini.
Kehadiran pihak auditor telah diiringi oleh Ketua Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pn. Hjh. Maskana Ahmad, bersama beberapa orang pegawai lain.
Lawatan ini menjadi satu platform penting bagi meninjau aspek pengurusan, kebersihan, penyelenggaraan kemudahan serta tatakelola operasi Dapur Siswa MADANI@KUO. Pemantauan secara berkala seperti ini juga dapat membantu memastikan pengurusan dapur sentiasa dilaksanakan dengan baik dan selaras dengan matlamat penubuhan Dapur Siswa MADANI sebagai sebuah inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada mahasiswa.

Selain aktiviti gotong-royong memasak yang dijalankan, program ini turut menyediakan pengagihan sebanyak 50 pek makanan percuma kepada penghuni Diploma KUO. Pengagihan makanan ini merupakan antara usaha berterusan Dapur Siswa MADANI@KUO dalam menyantuni mahasiswa, khususnya mereka yang memerlukan sokongan dari aspek kebajikan dan penyediaan makanan.
Apa yang lebih menarik, pengoperasian Dapur Siswa MADANI@KUO turut mendapat sokongan secara langsung daripada mahasiswa sendiri yang tampil sebagai sukarelawan dalam aktiviti penyediaan makanan.

Menurut Saudara Munef, pelajar Semester 1 Diploma, penglibatan sebagai sukarelawan memasak memberikan pengalaman yang sangat bermakna kerana beliau berpeluang bukan sahaja membantu menyediakan makanan, malah dapat merasai sendiri semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa.
“Saya sangat gembira dapat terlibat sebagai sukarelawan di Dapur Siswa MADANI@KUO. Walaupun saya baru Semester 1 Diploma, saya dapat belajar banyak perkara melalui aktiviti ini, terutama tentang kerjasama, kebersihan dan tanggungjawab dalam menyediakan makanan untuk kawan-kawan mahasiswa.”
Beliau turut menyifatkan peluang tersebut sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan kerana dapat melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada warga kolej.
“Bagi saya, apabila kita dapat memasak dan menyediakan makanan untuk orang lain, kemudian makanan itu dapat dinikmati oleh rakan-rakan, memang satu kepuasan. Saya berharap lebih ramai mahasiswa akan tampil menjadi sukarelawan kerana kita bukan sahaja membantu orang lain, tetapi kita sendiri mendapat pengalaman dan kenalan baharu.”
Program yang berlangsung pada hari ini memperlihatkan sinergi antara mahasiswa, sukarelawan dan pihak pengurusan dalam memastikan Dapur Siswa MADANI@KUO terus berfungsi sebagai sebuah ruang komuniti yang memberi manfaat kepada warga KUO.
Dengan semangat “daripada mahasiswa, untuk mahasiswa”, usaha sebegini diharapkan dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang agar lebih ramai mahasiswa dapat menikmati manfaat serta turut sama menyumbang kepada komuniti kolej.












