Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan
KUBANG GAJAH, 19 Oktober 2026 – Seramai 140 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang bakal menduduki peperiksaan menerima suntikan semangat menerusi program Coffee-To-Go UniMAP yang diteruskan sebagai tanda keprihatinan universiti terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa.

Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kubang Gajah itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam serta Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia, menerusi pemberian kopi dan makanan ringan kepada pelajar sebagai sokongan moral menjelang peperiksaan.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, berkata inisiatif itu bukan sekadar pemberian kopi dan makanan ringan, sebaliknya mencerminkan keprihatinan universiti dalam menyantuni mahasiswa serta memberikan sokongan moral ketika mereka menghadapi peperiksaan.
“Kami mahu setiap pelajar merasai bahawa mereka sentiasa mendapat sokongan dan perhatian daripada universiti. Walaupun sumbangan ini kelihatan kecil, kami berharap ia dapat menceriakan hari mereka, meningkatkan motivasi serta memberikan semangat untuk menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin.

“Bagi UniMAP, kecemerlangan pelajar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi turut didukung oleh persekitaran pembelajaran yang positif, kebajikan yang terpelihara dan hubungan erat antara universiti dengan pelajar,” katanya.
Beliau turut hadir menyantuni pelajar menerusi program berkenaan bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, serta barisan dekan dan Pengarah JHEP.
Program Coffee-To-Go UniMAP merupakan antara pendekatan universiti untuk mendekati mahasiswa secara lebih santai dan mesra, khususnya ketika mereka berdepan tempoh peperiksaan yang memerlukan persediaan mental dan fizikal.

Inisiatif itu juga membuka ruang kepada pihak pengurusan universiti untuk berinteraksi secara langsung dengan mahasiswa, sekali gus memperkukuh hubungan antara universiti dengan warga kampus serta menyampaikan mesej galakan agar pelajar terus berusaha mencapai prestasi terbaik.
Usaha berterusan itu mencerminkan komitmen UniMAP dalam membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan akademik, malah mengutamakan kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan mahasiswa secara holistik.
Melalui pendekatan yang dekat dengan mahasiswa, UniMAP berharap setiap pelajar dapat merasakan bahawa perjalanan mereka menuju kejayaan sentiasa mendapat perhatian dan sokongan seluruh warga universiti.
















