Advertisement

Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor Tingkat Kecemerlangan UMPSA

Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu

Pekan, 21 Oktober – Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor (DTC) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan prasarana universiti, sekali gus melambangkan aspirasi dan kecemerlangan akademik UMPSA.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Tuanku Canselor UMPSA, berkenan menyempurnakan pemasyhuran tersebut serta menerima watikah pelantikan semula sebagai Canselor UMPSA yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir. Turut hadir barisan kepimpinan kerajaan negeri, Kementerian Pendidikan Tinggi dan pengurusan tertinggi universiti.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias, reka bentuk seni bina DTC diinspirasikan daripada Wau Pungguk, warisan tradisional yang mempunyai kaitan dengan Pekan, Pahang. Inspirasi tersebut melambangkan keseimbangan antara kemajuan global dengan pemeliharaan nilai, budaya dan jati diri negeri serta negara.

Menjelang sambutan Jubli Perak UMPSA pada tahun 2027, universiti terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti teknikal terbaik dalam kalangan MTUN. Kecemerlangan penyelidikan turut terserlah apabila 27 penyelidik UMPSA tersenarai dalam kelompok World’s Top 2% Scientists 2026 berdasarkan data Elsevier BV dan Stanford University.

Dalam memperkukuh keupayaan akademik dan penyelidikan, UMPSA melaksanakan transformasi struktur akademik serta menubuhkan beberapa Pusat Kecemerlangan, termasuk dalam bidang aeroangkasa, teknologi inklusif, infrastruktur berdaya tahan iklim dan mineral kritikal. Universiti juga memperluas kerjasama pembangunan Pahang Aerospace City serta membangunkan teknologi inovatif seperti R.A.I.D. (Rocket Assisted Interceptor Drone).

Sebagai institusi yang membawa nama negeri Pahang, UMPSA turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi, teknologi dan komuniti melalui penyelidikan serta pemindahan ilmu. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pemuliharaan Bunga Pekan dan pelaksanaan 21 projek komuniti berasaskan penyelidikan dan inovasi pada tahun 2026, dengan 91 peratus penerima manfaat terdiri daripada rakyat negeri Pahang.

Di peringkat antarabangsa, UMPSA terus memperkukuh program ijazah dual bersama universiti rakan di Jerman, China, Kazakhstan dan Korea Selatan bagi memperluas pendedahan global mahasiswa. Kepakaran penyelidikan universiti turut dimanfaatkan dalam bidang sukan melalui pembangunan teknologi latihan seperti RimauStrike, Spike Trainer, MyMOOVE dan Stability Board.

Dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara, UMPSA menyediakan bantuan awal pendidikan berjumlah RM230,000 serta bantuan zakat pelajar sebanyak RM1 juta bagi Sesi Akademik 2026/2027. Universiti turut memperkenalkan Biasiswa Ulul Albab menerusi Endowmen Tuanku Canselor, selain memperkukuh kerjasama strategik dalam pelaksanaan inisiatif wakaf bersama Wakaf Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Majlis turut menyaksikan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Tabung Endowmen Tuanku Canselor, melibatkan Maybank Islamic sebanyak RM200,000, MUIP sebanyak RM300,000 dan Lembaga Tabung Haji sebanyak RM500,000. DTC dijangka menjadi lokasi penting dalam meraikan kejayaan warga universiti, termasuk 3,345 bakal graduan yang dijadualkan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen akan datang.

Kredit foto : Encik Zaffaruddin bin Hamzah

Total Views: 0