oleh: Nik Nurul Hazirah Hasmadi
BATU PAHAT, 15 Oktober 2026 – Empat mahasiswa Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai International Summer Camp 2026: TVET for Sustainable Future (V’TARA 26) yang berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, pada 11 hingga 15 Oktober 2026.
Program mobiliti antarabangsa selama lima hari itu menghimpunkan seramai 80 peserta dari 11 buah negara, sekali gus menyediakan platform kepada mahasiswa untuk memperluas jaringan akademik global, meningkatkan kompetensi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta meneroka kepentingan teknologi hijau dalam mendepani cabaran pembangunan mampan. Empat mahasiswa UPSI yang mewakili Jabatan Teknologi Kejuruteraan (JTK), FTV menerusi Persatuan Mahasiswa Teknologi Kejuruteraan (PERMATEK) ialah Nik Nurul Hazirah binti Hasmadi, Alya Nabihah binti Adnan, Muhammad Daniel bin Rahimi dan Muhammad Aqil Syazani bin Amran.


Penganjuran V’TARA 26 yang diterajui oleh Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET), UTHM dengan kerjasama pelbagai institusi dan organisasi berkaitan TVET itu turut diadakan bersempena 10th World Conference on Technical and Vocational Education and Training (WoCTVET 2026) yang bertemakan “Empowering TVET for a Greener Future”. Penganjuran bersempena persidangan antarabangsa tersebut turut memberi nilai tambah kepada penyertaan mahasiswa melalui pendedahan terhadap perkembangan pendidikan TVET di peringkat global, khususnya berkaitan inovasi teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan mampan.
Antara pengisian utama yang disertai delegasi UPSI ialah bengkel Green Skills: Solar for Sustainable Youth yang memberikan pendedahan mengenai kepentingan tenaga solar sebagai sumber tenaga boleh baharu dalam menyokong pembangunan lestari. Selain pendedahan terhadap teknologi tenaga solar, delegasi turut berpeluang mempelajari teknologi kenderaan elektrik (Electric Vehicle – EV) menerusi sesi pembelajaran yang dijalankan di UTHM. Pendedahan tersebut memberikan pengetahuan mengenai konsep asas kenderaan elektrik serta peranannya sebagai salah satu alternatif pengangkutan yang menyokong peralihan kepada teknologi rendah karbon. Melalui sesi tersebut, mahasiswa dapat memperluas pemahaman tentang perkembangan teknologi automotif masa kini, khususnya potensi penggunaan tenaga elektrik dalam sektor pengangkutan. Pengalaman ini turut memperkukuh kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan penguasaan kemahiran teknologi hijau yang semakin relevan dengan keperluan industri dan pembangunan mampan pada masa hadapan.

Selain pendedahan teknikal, delegasi turut terlibat dalam dua aktiviti berkumpulan, iaitu “How AI Can Change the World” dan “Eco Water Filtration Challenge”, yang menguji keupayaan peserta untuk berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan permasalahan semasa. Menerusi aktiviti How AI Can Change the World, peserta berpeluang meneroka potensi kecerdasan buatan dalam membawa perubahan kepada dunia, di samping menilai cabaran dan kesan penggunaan teknologi tersebut terhadap kelestarian alam sekitar. Aktiviti Eco Water Filtration Challenge pula memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran penyelesaian masalah melalui cabaran berkaitan penapisan air secara lestari. Kedua-dua aktiviti tersebut turut menggalakkan kerjasama antara peserta daripada pelbagai negara melalui perkongsian idea, komunikasi berkesan dan pembentukan penyelesaian secara berkumpulan.
Keunikan program ini turut terserlah menerusi penganjuran Green Sustainability Cultural Night, yang menjadi platform pertukaran budaya antara peserta antarabangsa. Setiap kumpulan diberikan tanggungjawab untuk mempersembahkan persembahan yang mengetengahkan identiti, tradisi dan keunikan budaya negara-negara yang terlibat. Aktiviti tersebut bukan sahaja memperkenalkan kepelbagaian warisan budaya, malah menggalakkan peserta untuk saling memahami, menghormati perbezaan dan membina hubungan persahabatan merentasi sempadan negara.



Wakil mahasiswa UPSI, Nik Nurul Hazirah binti Hasmadi, menyifatkan penyertaan dalam program tersebut sebagai pengalaman yang amat berharga, khususnya dalam meningkatkan keyakinan diri serta memperluas perspektif terhadap pendidikan dan kerjasama antarabangsa. “Pada mulanya, saya berasa kurang yakin untuk berkomunikasi dengan peserta antarabangsa. Namun, melalui aktiviti dan kerjasama sepanjang program, saya belajar untuk menjadi lebih berani, berdikari dan terbuka menerima pandangan orang lain. Pengalaman ini memberikan saya keyakinan untuk melangkah lebih jauh,” katanya. “Pertemuan dengan peserta dari pelbagai negara memberi peluang kepada saya untuk mengenali budaya baharu, berkongsi pandangan dan melihat bagaimana ilmu TVET dapat menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari,” tambahnya.
Hafiz Najmi Mohd Syariff, Pengerusi Kelab UNESCO UTHM, berpandangan bahawa pemberian kepercayaan kepada mahasiswa untuk menerajui penganjuran program antarabangsa membuktikan keupayaan mereka memikul tanggungjawab besar dengan bimbingan yang sesuai.

Penyertaan mahasiswa dalam program yang dianjurkan bersempena WoCTVET 2026 turut membuka ruang kepada pendedahan dalam ekosistem akademik antarabangsa yang menghimpunkan kepakaran serta perbincangan mengenai masa depan pendidikan teknikal dan vokasional. Antara fokus forum persidangan tersebut termasuk AI-powered TVET, Green Futures dan Future Society, yang mengetengahkan peranan kecerdasan buatan, inovasi hijau serta transformasi digital dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan kemahiran masa hadapan.
Penglibatan ini mencerminkan komitmen dalam menyokong agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi melalui penyertaan mahasiswa dalam program berimpak tinggi yang mengintegrasikan ilmu teknikal, kemahiran insaniah dan kesedaran global. Pada masa yang sama, pengalaman yang diperoleh berpotensi meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui penguasaan kemahiran komunikasi antarabangsa, pemikiran kritis, kepimpinan serta keupayaan bekerjasama dalam persekitaran pelbagai budaya.

Secara keseluruhannya, mahasiswa dalam V’TARA 26 bukan sahaja menjadi wadah pengembangan ilmu dan pengalaman antarabangsa, malah memperkukuh usaha universiti dalam melahirkan bakal pendidik dan graduan TVET yang kompeten, berdaya saing serta bersedia menyumbang kepada pembangunan masa depan yang lebih hijau dan lestari.













