Oleh: Nur Fadzliah Othman & Dr. Zaharah Zainal Abidin
PAUH PUTRA, 20 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan mahasiswa holistik, celik kewangan dan berdaya tahan menerusi penganjuran FINFIT Challenge 2026 Edisi IPT Wilayah Utara, yang turut menyaksikan pelancaran rasmi AKPK GROW Club UniMAP sebagai platform pemerkasaan kepimpinan dan literasi kewangan mahasiswa.
Program yang berlangsung di Auditorium, Aras 1, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra itu merupakan inisiatif pendidikan kewangan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bersama Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), dengan penglibatan UniMAP sebagai universiti tuan rumah. Penganjuran ini turut memperkukuh kolaborasi sedia ada antara UniMAP dan AKPK dalam memperluas pendidikan kewangan kepada mahasiswa.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Dr. Abdullah bin Abdul Samat, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniMAP, mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa penubuhan AKPK GROW Club UniMAP bukan sekadar pelancaran sebuah kelab mahasiswa, sebaliknya merupakan pelaburan strategik dalam membentuk generasi muda yang celik kewangan, berdaya tahan dan berkepimpinan.
Beliau turut menekankan kepentingan melahirkan mahasiswa sebagai suri teladan (role model) dan Duta Literasi Kewangan yang bukan sahaja mengamalkan pengurusan kewangan secara berhemah, malah berupaya memimpin, berkongsi ilmu dan menjadi agen perubahan dalam kalangan rakan sebaya serta komuniti.
Penubuhan AKPK GROW Club UniMAP yang diterajui 32 Ahli Jawatankuasa Eksekutif mahasiswa menjadi platform penting dalam merealisasikan aspirasi tersebut menerusi pendekatan pembelajaran rakan sebaya (peer-to-peer learning), pembangunan kepimpinan serta pembudayaan amalan kewangan yang bertanggungjawab.

Menurut Penasihat AKPK GROW Club UniMAP, Dr. Zaharah binti Zainal Abidin, literasi kewangan bukan hanya relevan kepada mahasiswa bidang perniagaan atau ekonomi, sebaliknya merupakan kemahiran kehidupan yang perlu dikuasai oleh semua mahasiswa tanpa mengira bidang pengajian.
“Celik kewangan bukan sekadar memiliki pengetahuan, tetapi membina kesedaran dan menterjemahkannya kepada tindakan. Kemahiran ini penting kepada setiap mahasiswa kerana pengurusan kewangan merupakan sebahagian daripada kehidupan seharian yang perlu dipupuk sejak di bangku universiti,” jelas beliau.
Sementara itu, FINFIT Challenge 2026 mengetengahkan pendekatan pembelajaran interaktif berasaskan cabaran yang memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai pengurusan kewangan peribadi, perancangan perbelanjaan, amalan simpanan, perlindungan kewangan, kepentingan dana kecemasan serta kesedaran terhadap risiko penipuan kewangan.
Program ini turut menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk memperkukuh kemahiran insaniah termasuk pemikiran kritis, penyelesaian masalah, komunikasi dan kerjasama berpasukan melalui aplikasi pengetahuan kewangan dalam situasi kehidupan sebenar.
Pendedahan kepada ilmu kewangan yang dapat diaplikasikan dalam situasi kehidupan sebenar juga penting dalam membentuk mahasiswa yang berintegriti, amanah dan bertanggungjawab ketika membuat keputusan. Pemahaman yang baik tentang pengurusan kewangan, kepentingan hidup mengikut kemampuan serta kesan buruk amalan kewangan tidak beretika dapat meningkatkan kesedaran mahasiswa untuk menolak sebarang bentuk penyelewengan dan gejala rasuah. Pendekatan ini sekali gus membantu melahirkan graduan yang bukan sahaja celik kewangan, malah mempunyai jati diri yang kukuh serta mampu mengamalkan nilai integriti dalam kehidupan seharian dan alam pekerjaan.

Dalam ucapannya, Puan Noor Aziera Ezurien, Ketua Unit Belia dan Pengajian Tinggi, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), turut menekankan kepentingan FINFIT Challenge 2026 sebagai platform memperkukuh pengetahuan, kesedaran dan amalan pengurusan kewangan yang bijak dalam kalangan mahasiswa, sekali gus membina generasi muda yang lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan masa hadapan.
Lebih membanggakan, pasukan Fortune Girl yang dianggotai mahasiswa AKPK GROW Club UniMAP berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir FINFIT Challenge 2026 Edisi IPT Wilayah Utara. Pencapaian ini bukan sahaja menyerlahkan potensi, daya saing dan keupayaan mahasiswa UniMAP mengaplikasikan pengetahuan kewangan, malah membuktikan bahawa penglibatan aktif dalam AKPK GROW Club UniMAP mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan mahasiswa yang berkeyakinan, berkepimpinan dan berdaya saing. Kejayaan ini turut mengharumkan nama UniMAP serta mencerminkan usaha memperkasa mahasiswa melalui pembelajaran berasaskan pengalaman.

Penganjuran FINFIT Challenge 2026 bersama pelancaran AKPK GROW Club UniMAP menyerlahkan peranan aktif UniMAP dalam memperkasa pembangunan mahasiswa melangkaui bilik kuliah, sekali gus menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Melalui kolaborasi berterusan antara UniMAP dan AKPK, penubuhan kelab ini diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem literasi kewangan kampus yang inklusif dan mampan, dengan mahasiswa bukan sahaja menjadi penerima ilmu, malah pemimpin, suri teladan dan agen perubahan yang mampu memperluas manfaat pendidikan kewangan kepada universiti, komuniti serta masyarakat.












