Advertisement

PROGRAM BAHASA ISYARAT TINGKAT KESEDARAN KAMPUS INKLUSIF UniMAP

Oleh : Nur Aimi binti Muslim

PAUH PUTRA, 15 Oktober 2026– Usaha membudayakan persekitaran kampus yang inklusif terus diperkukuh menerusi penganjuran program bahasa isyarat bagi meningkatkan kesedaran warga universiti mengenai kepentingan komunikasi dengan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran.

Program Sign Language Inclusive Program anjuran UniMAP Inclusive Club dengan kerjasama Pusat Kaunseling (PUSKA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu berlangsung di Dewan Keikhlasan, Bangunan Canselori, dengan penyertaan 43 peserta terdiri daripada pelajar OKU, pelajar bukan OKU serta staf universiti.

Program itu dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) yang memberikan pendedahan mengenai asas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), selain membimbing peserta mempraktikkan komunikasi menggunakan bahasa isyarat menerusi aktiviti pembelajaran interaktif.

Penganjuran program berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran asas bahasa isyarat dalam kalangan warga universiti, sekali gus membantu mereka memahami kepentingan komunikasi yang berkesan ketika berinteraksi dengan komuniti OKU Pendengaran.

Selain kemahiran komunikasi, program itu turut menekankan nilai empati, kepekaan dan sikap saling menghormati bagi meningkatkan pemahaman terhadap kepelbagaian keperluan warga kampus.

Penglibatan peserta daripada pelbagai latar belakang turut membuka ruang untuk mereka berinteraksi dan berkongsi pengalaman, sekali gus menyemai kesedaran bahawa pembentukan kampus inklusif memerlukan sokongan serta penglibatan seluruh warga universiti.

UniMAP Inclusive Club, yang dianggotai 40 mahasiswa berkeperluan khas, berperanan sebagai platform untuk menyokong penglibatan dan memperkasa keterangkuman mahasiswa OKU dalam kehidupan kampus.

Menerusi tema “Sama Bahasa, Sama Peluang”, program itu membawa mesej bahawa perbezaan cara berkomunikasi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada interaksi dan penyertaan aktif dalam kehidupan universiti.

Inisiatif berkenaan diharap dapat memperluas kesedaran mengenai kepentingan bahasa isyarat dalam komunikasi harian, di samping menyokong usaha berterusan universiti untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inklusif, mesra OKU dan prihatin terhadap kepelbagaian keperluan warganya.

Total Views: 23