Advertisement

Misi Sukarelawan Mega @ Pangkor: 778 Wira Universiti Awam Bersatu Pulihkan Rumah Mangsa Banjir

oleh : Mohd Raizol Ramli

PANGKOR, 19 Oktober 2026— Misi Sukarelawan Mega @ Pangkor menggembleng tenaga seramai 778 sukarelawan yang terdiri daripada 625 pelajar dan 153 staf dari 18 Universiti Awam (UA) seluruh negara bagi membantu penduduk terjejas susulan kejadian banjir di Pulau Pangkor.

Misi yang dijadualkan bergerak dari Jeti Marina seawal jam 9 pagi itu turut menyalurkan sebanyak 520 sumbangan merangkumi bakul makanan, toto, bantal serta makanan retot untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Sukarelawan UPSI sedang mendengar taklimat dan agihan kawasan pembersihan

Kejadian banjir kilat yang berlaku semalam berpunca daripada hujan lebat berterusan selama kira-kira dua jam bermula jam 4 pagi. Keadaan itu menyebabkan air naik dengan cepat dan menaiki kediaman penduduk sebelum beransur surut sekitar jam 9 pagi.

Bagi meringankan beban penduduk, barisan sukarelawan UA dibahagikan mengikut kawasan agihan dan tugas pembersihan yang merangkumi sekurang-kurangnya 150 buah rumah kediaman:

Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (HEP&A) UPSI bersama petugas dan pemimpin setempat

• Kampung Masjid (100 Rumah): Digerakkan oleh UPSI, UMK, UMT, USM, UPM dan USIM (225 pelajar, 65 staf, 210 bakul makanan),

• Kampung Teluk Kecil (10 Rumah): Dianggotai oleh UniSZA dan UTM (70 pelajar, 25 staf, 30 toto, 30 bakul makanan)

• Kampung Sungai Pinang Besar (10 Rumah): Dibantu oleh UTeM dan UiTM (90 pelajar, 15 staf, 60 bakul makanan)

• Kampung Cina Sungai Pinang (30 Rumah): Melibatkan UTHM, UUM dan UKM (80 pelajar, 19 staf, 100 bakul makanan & bantal)

• Kg Cina Pangkor: Ditugaskan kepada IIUM, UniMAP, UMPSA, UM dan UPNM. (80 pelajar, 19 staf, 170 bakul makanan & 50 makanan retort)

Naib Canselor UPSI bersama sukarelawan membersihkan kawasan terjejas

Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff menegaskan penyertaan padu pelbagai universiti mencerminkan semangat kebersamaan yang tinggi:

“Semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh seluruh universiti awam hari ini membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi tidak pernah terpisah daripada nadi masyarakat. Sukarelawan Mega @ Pangkor ini adalah penterjemahan solidariti kita untuk bersama-sama mendepani ujian yang dihadapi rakyat,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Awam, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, merangkumkan peranan penting Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) serta kesiapsiagaan kepakaran teknikal yang dibawakan oleh Pasukan ResQ UPSI.

Sebahagian Sukarelawan MASKUM bergambar kenangan

“Penyelarasan pantas menerusi MASKUM membolehkan seluruh jaringan universiti awam digembleng secara sistematik dalam tempoh yang singkat. Kehadiran Pasukan ResQ UPSI bersama kekuatan logistik dan latihan khusus pembersihan bencana turut menjadi tulang belakang yang melancarkan pengurusan pergerakan serta operasi menyelamat di lapangan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, wakil pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Muhammad Hassan Sheikh Alrisid Movidin, turut menzahirkan rasa bangga atas komitmen barisan mahasiswa yang hadir:

“Usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pelajar dari pelbagai universiti yang turun ke padang hari ini amat membanggakan. Walaupun terpaksa mengorbankan masa dan tenaga, mereka hadir dengan penuh iltizam demi meringankan beban penduduk yang terjejas,” ujarnya.

Sukarelawan membersihkan barangan rumah yang terjejas akibat banjir

Salah seorang peserta misi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Amir Hakimi Mohd Raizol, menganggap pembabitan ini sebagai suatu tanggungjawab moral anak muda:

“Menyertai kerja-kerja sukarelawan seperti ini memberi dorongan dan kesedaran yang mendalam tentang kebaikan memberi bantuan. Ia bukan sekadar huluran tenaga, tetapi menjadi tanggungjawab perpaduan kita bersama untuk hadir membantu mereka yang berada dalam kesusahan walaupun berlainan bangsa dan agama,” katanya.

Total Views: 32