Oleh: Najib Isah
TANJONG MALIM, 20 September 2026 – Ada pertemuan yang bermula dengan salam, ada perjalanan yang bermula dengan langkah, dan ada cerita yang bermula dengan keberanian melangkah keluar dari zon keselesaan. Begitulah gambaran suasana penuh warna-warni apabila mahasiswa baharu rasmi melangkah kaki ke Kolej Awang Had Salleh (KAHS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Di sebalik keterujaan melangkah ke menara gading, terselit pelbagai persoalan dalam fikiran mereka: Siapakah yang akan menjadi teman? Bagaimanakah kehidupan di kolej nanti? Mampukah menyesuaikan diri? Bagi merungkai segala tanda tanya itu, Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) KAHS sidang 2026/2027 telah penganjuran Program JEJAKAHS 2026: Jejak Anda Bermula di KAHS bertempat di Pusat Aktiviti Pelajar, Kolej Aminuddin Baki (KAB) pada 19 hingga 20 September lalu.

Hari pertama program diisi dengan pelbagai aktiviti santai yang menguji semangat kebersamaan. Menerusi ExploreX KAHS, para pelajar mengecam petunjuk gambar di sekitar kolej untuk mengenali fasiliti yang ada. Sorakan gelak tawa turut memecah suasana menerusi KAHS Cheerdown—iaitu pertandingan mencipta irama dan sorakan khas ultras KAHS—selain aktiviti ceria seperti Talent Hunting, Number Rush, dan Human Chain.
Kemuncak program diserikan menerusi slot KAHS Night di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) yang dihimpuni lebih 1,250 orang penghuni baharu.

Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr. Mardiana binti Ismail dalam ucapan perasmiannya menitiskan amanat yang cukup menyentuh hati buat para pelajar baharu.
“Jadikanlah KAHS ini sebagai rumah kedua anda sepanjang berada di universiti. Di sinilah tempat anda menimba pengalaman, membina ikatan persahabatan, dan mematangkan diri. Hormatilah rakan-rakan serta persekitaran kolej, dan jagalah kebersihan serta kemudahan yang ada. Apabila kita saling menghormati dan menjaga persekitaran ini bersama, KAHS akan menjadi sebuah ‘rumah’ yang harmoni dan penuh kenangan indah buat kita semua,” tutur beliau penuh mesra.
Suasana KAHS Night turut dimantapkan dengan taklimat Do’s and Don’ts yang disampaikan oleh Ketua Felo, Encik Mohamad Iman Iskandar bin Bahaman, sebelum dewan digamatkan dengan persembahan bakat penghuni menerusi nyanyian, tarian zapin, dan aerodance yang menyerlahkan warna kesenian warga KAHS.

Program dua hari ini diakhiri dengan aktiviti senamrobik, amalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti berjalan tiga pusingan sekitar kolej, serta aktiviti gotong-royong membersihkan bilik kediaman. Program JEJAKAHS 2026 ditutup rasmi dengan penyampaian sijil penghargaan bagi Anugerah Rumah Terbersih setiap blok sebagai pemangkin semangat untuk mengekalkan kebersihan serta keselesaan persekitaran kolej kediaman secara berterusan.













