UUM ONLINE: Platform ASEMO@UUM 2026 bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menimba ilmu tetapi memberi pengalaman bermakna melalui pendedahan kepada persekitaran berbeza kepada mahasiswa yang datang dari pelbagai negara ASEAN.
Ketua Pegawai Pemasaran Education Malaysia Global Services (EMGS), Shahrill Sabarudin berkata, program tahun ini menarik penyertaan 230 mahasiswa daripada 39 institusi pendidikan tinggi dari 6 negara ASEAN.

ASEMO@UUM disertai 152 pelajar Indonesia, 27 dari Kemboja, 23 mahasiswa Thailand, 13 dari Filipina, Vietnam (11) dan Brunei (5) yang mengikuti pelbagai aktiviti menarik yang memberi pengalaman unik kepada peserta terutama dari aspek kefahaman silang budaya ASEAN.
“Perkara ini menjadi antara elemen penting dalam membentuk pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kerana peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan akademik tetapi turut membina kefahaman, keyakinan dan keupayaan untuk berkomunikasi dalam persekitaran yang pelbagai,” katanya ketika berucap sempena berakhirnya ASEMO@UUM 2026 di Sintok.
Tambah beliau, peluang untuk belajar dan berinteraksi dalam persekitaran antarabangsa turut membantu peserta memperluas perspektif serta mempersiapkan diri menghadapi dunia yang semakin saling berhubung.

Katanya, pengalaman sebegini wajar dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran holistik yang melangkaui aspek akademik, khususnya dalam membentuk mahasiswa yang terbuka, berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran global.
ASEMO@UUM 2026 sekali gus menjadi platform yang menggabungkan pembelajaran, pertukaran budaya dan pembinaan jaringan antara mahasiswa ASEAN, selaras dengan usaha memperkukuh pengalaman pendidikan tinggi yang bersifat serantau dan antarabangsa.
Beliau juga berharap Malaysia yang memiliki pelbagai kemudahan pendidikan tinggi menjadi pilihan utama kepada pelajar di rantau ASEAN.
Ketika ini, Malaysia mempunyai 20 buah Universiti Awam (UA), 84 universiti swasta, 38 kolej universiti yang menawarkan kemudahan pendidikan lengkap serta 11 kampus cawangan universiti terkemuka United Kingdom dan Australia.
Oleh: Khairul Anuar bin Abdul Malik dan Zulaidah Mat Said
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil












