Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
SHAH ALAM, 25 September 2026 – Seramai 49,289 pelajar memulakan sesi pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM), dengan universiti terus memberi penekanan terhadap pembentukan graduan yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah berkemahiran serta bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan yang dipacu kecerdasan buatan (AI), automasi dan transformasi digital.
Daripada jumlah tersebut, seramai 9,749 merupakan pelajar baharu Sarjana Muda melalui UPU, 6,428 pelajar penerapan, 29,653 pelajar baharu Diploma dan Asasi serta 3,459 pelajar Pra-Diploma di seluruh negara. Seramai 5,836 pelajar direkodkan memulakan pengajian di Kampus Shah Alam.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, mahasiswa hari ini memasuki alam universiti ketika AI, automasi, transformasi digital dan teknologi baharu sedang mengubah cara manusia belajar, bekerja dan menjalani kehidupan.

Menurut beliau, mahasiswa perlu menguasai teknologi dan memanfaatkan AI dalam pembelajaran, penjanaan idea, peningkatan produktiviti serta penerokaan ilmu. Namun, teknologi tidak seharusnya menggantikan keupayaan mahasiswa untuk berfikir, membuat pertimbangan dan menilai kesahihan sesuatu maklumat.

Beliau turut menggalakkan mahasiswa memanfaatkan kehidupan kampus melalui penglibatan dalam persatuan, kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan, pertandingan dan inovasi serta membina jaringan bersama industri. Pengalaman tersebut penting dalam membentuk graduan yang lebih bersedia menghadapi perubahan apabila melangkah ke alam pekerjaan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi berkata, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) kini bergerak melangkaui fungsi tradisional pengurusan aktiviti, disiplin, kolej kediaman dan persatuan kepada pendekatan yang lebih prihatin, responsif serta berorientasikan pembangunan insan.

Transformasi tersebut digerakkan menerusi Agenda Transformasi Mahasiswa UiTM (TAMU) yang merangkumi 21 inisiatif strategik bagi menyokong pembangunan dan kesejahteraan mahasiswa. Antaranya ialah Modul Usaha Takwa Mulia (UTAMA), Program Wadah TAMU, Model Mahasiswa Terbilang (MMT) dan Koridor Keusahawanan Mahasiswa Kolej Kediaman.

Dalam aspek kesejahteraan pula, HEP menyediakan ekosistem sokongan mahasiswa menerusi pelbagai inisiatif termasuk Dapur Siswa Madani (Dapur HEP), PitStop HEP, Program Ziarah Kasih Siswa, Tabung Kasih Siswa serta bantuan kebajikan dan kecemasan bagi membantu mahasiswa sepanjang kehidupan kampus.

Sehingga jam 5 petang, 25 September 2026, UiTM merekodkan 38,484 pendaftaran kolej kediaman di seluruh negara melibatkan 13,434 siswa dan 25,050 siswi. Di Shah Alam, sebanyak 4,559 daripada 6,839 pelajar MDS dan penerapan baharu direkodkan dalam data pendaftaran kolej kediaman setakat waktu yang sama.
UiTM berharap pengalaman sepanjang berada di universiti dapat membentuk mahasiswa menjadi individu yang bukan sahaja berilmu, malah lebih matang, berani, berintegriti serta bersedia memimpin dan menyumbang kepada masyarakat selepas tamat pengajian.













