Advertisement

49,289 Pelajar Mulakan Langkah di UiTM, Dipersiap Hadapi Era AI

Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien

SHAH ALAM, 25 September 2026 – Seramai 49,289 pelajar memulakan sesi pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM), dengan universiti terus memberi penekanan terhadap pembentukan graduan yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah berkemahiran serta bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan yang dipacu kecerdasan buatan (AI), automasi dan transformasi digital.

Daripada jumlah tersebut, seramai 9,749 merupakan pelajar baharu Sarjana Muda melalui UPU, 6,428 pelajar penerapan, 29,653 pelajar baharu Diploma dan Asasi serta 3,459 pelajar Pra-Diploma di seluruh negara. Seramai 5,836 pelajar direkodkan memulakan pengajian di Kampus Shah Alam.

Mahasiswi Baharu UiTM sewaktu program berlangsung.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, mahasiswa hari ini memasuki alam universiti ketika AI, automasi, transformasi digital dan teknologi baharu sedang mengubah cara manusia belajar, bekerja dan menjalani kehidupan.

Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor kepada mahasiswa-mahasiswi baharu UiTM.

Menurut beliau, mahasiswa perlu menguasai teknologi dan memanfaatkan AI dalam pembelajaran, penjanaan idea, peningkatan produktiviti serta penerokaan ilmu. Namun, teknologi tidak seharusnya menggantikan keupayaan mahasiswa untuk berfikir, membuat pertimbangan dan menilai kesahihan sesuatu maklumat.

Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib menyempurnakan gimik perasmian Minggu Destini Siswa (MDS) Sesi September 2026.

Beliau turut menggalakkan mahasiswa memanfaatkan kehidupan kampus melalui penglibatan dalam persatuan, kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan, pertandingan dan inovasi serta membina jaringan bersama industri. Pengalaman tersebut penting dalam membentuk graduan yang lebih bersedia menghadapi perubahan apabila melangkah ke alam pekerjaan.

Mahasiswa Baharu UiTM ketika program berlangsung.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi berkata, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) kini bergerak melangkaui fungsi tradisional pengurusan aktiviti, disiplin, kolej kediaman dan persatuan kepada pendekatan yang lebih prihatin, responsif serta berorientasikan pembangunan insan.

Prof.Dr. Sazili ketika menyampaikan Amanat Timbalan Naib Canselor kepada mahasiswa-mahasiswi baharu UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam

Transformasi tersebut digerakkan menerusi Agenda Transformasi Mahasiswa UiTM (TAMU) yang merangkumi 21 inisiatif strategik bagi menyokong pembangunan dan kesejahteraan mahasiswa. Antaranya ialah Modul Usaha Takwa Mulia (UTAMA), Program Wadah TAMU, Model Mahasiswa Terbilang (MMT) dan Koridor Keusahawanan Mahasiswa Kolej Kediaman.

Prof. Dr. Sazili berswafoto bersama mahasiswa baharu UiTM ketika majlis berlangsung.

Dalam aspek kesejahteraan pula, HEP menyediakan ekosistem sokongan mahasiswa menerusi pelbagai inisiatif termasuk Dapur Siswa Madani (Dapur HEP), PitStop HEP, Program Ziarah Kasih Siswa, Tabung Kasih Siswa serta bantuan kebajikan dan kecemasan bagi membantu mahasiswa sepanjang kehidupan kampus.

Prof. Datuk Dr. Shahrin (dua dari kanan) bersama-sama Prof. Dr. Sazili dan Prof. Dr. Yamin sewaktu acara berlangsung.

Sehingga jam 5 petang, 25 September 2026, UiTM merekodkan 38,484 pendaftaran kolej kediaman di seluruh negara melibatkan 13,434 siswa dan 25,050 siswi. Di Shah Alam, sebanyak 4,559 daripada 6,839 pelajar MDS dan penerapan baharu direkodkan dalam data pendaftaran kolej kediaman setakat waktu yang sama.

UiTM berharap pengalaman sepanjang berada di universiti dapat membentuk mahasiswa menjadi individu yang bukan sahaja berilmu, malah lebih matang, berani, berintegriti serta bersedia memimpin dan menyumbang kepada masyarakat selepas tamat pengajian.

Para pelajar menadah tangan berdoa memohon keberkatan dan kelancaran sepanjang menjalani kehidupan sebagai mahasiswa UiTM.

Total Views: 13