Advertisement

2,974 PELAJAR BAHARU WARNAI KELUARGA UniMAP

Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan

PAUH PUTRA, 26 September 2026 – Seramai 2,974 pelajar baharu peringkat Sarjana Muda mendaftar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi Sidang Akademik 2026/2027, sekali gus mewarnai keluarga universiti itu dengan generasi baharu yang membawa aspirasi dan harapan masing-masing.

Jumlah itu terdiri daripada 1,745 pelajar lelaki dan 1,229 pelajar perempuan yang mengikuti 40 program akademik menerusi tujuh fakulti di UniMAP.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata kemasukan pelajar baharu itu bukan sekadar angka pendaftaran, sebaliknya membawa bersama ribuan impian pelajar serta harapan keluarga yang meletakkan kepercayaan kepada universiti berkenaan.

“Setiap seorang daripada 2,974 pelajar ini hadir dengan cerita, impian dan harapan masing-masing. Di belakang mereka pula ada ibu bapa dan keluarga yang telah berkorban serta meletakkan kepercayaan kepada UniMAP untuk membantu membentuk masa depan anak-anak mereka.

“Kami melihat kehadiran mereka bukan sekadar pertambahan jumlah mahasiswa, tetapi satu amanah untuk memastikan setiap anak ini mendapat peluang, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya sepanjang berada di UniMAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Naib Canselor UniMAP Bersama Waris Pelajar Baharu sempena Minggu Suai Kenal Sarjana Muda Sidang Akademik 2026/2027, di sini.

Daripada jumlah keseluruhan itu, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) merekodkan pendaftaran tertinggi dengan 947 pelajar, diikuti Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal (FKTM) sebanyak 520 orang dan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE) seramai 459 orang.

Sementara itu, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN) menerima 412 pelajar, diikuti Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA) seramai 238 orang, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) 225 orang dan Fakulti Komputeran Cerdas (FKC) 173 orang.

Zaliman berkata kemasukan generasi baharu itu turut menjadi lebih bermakna apabila UniMAP tahun ini menyambut ulang tahun ke-25 penubuhannya, dengan universiti kini mempunyai lebih 15,000 pelajar dan 45,000 alumni.

Menurutnya, UniMAP terus memperkukuh pendidikan dan penyelidikan dalam bidang strategik termasuk kecerdasan buatan, semikonduktor, automasi, teknologi hijau dan pendigitalan bagi memastikan graduan yang dilahirkan kekal relevan dengan keperluan industri.

Beliau berkata usaha itu turut diterjemahkan menerusi pencapaian Kadar Kebolehpasaran Graduan sebanyak 99.4 peratus pada 2025, yang meletakkan UniMAP di kedudukan ketiga dalam kalangan 20 universiti awam dan pertama dalam kalangan universiti MTUN.

“Namun, angka itu bukan jaminan bahawa kejayaan akan datang dengan sendirinya. UniMAP menyediakan ilmu, peluang dan pendedahan, tetapi mahasiswa sendiri perlu berusaha, membina kemahiran dan berani merebut peluang yang disediakan.

“Kita mahu melahirkan graduan bukan sahaja kompeten dalam bidang masing-masing, tetapi turut mempunyai adab, integriti, keyakinan diri dan keupayaan untuk memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, aspek kebajikan mahasiswa terus menjadi keutamaan UniMAP menerusi pelbagai inisiatif di bawah Insentif Kasih Siswa UniMAP, termasuk bantuan awal pengajian, bantuan kewangan, sokongan makanan dan Program Ziarah Kasih UniMAP.

UniMAP turut menyediakan enam kolej kediaman, kemudahan pengangkutan serta sistem Rakan Pendamping Siswa (RPS) bagi membantu mahasiswa menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti serta mendapatkan sokongan dalam aspek pembangunan diri dan akademik.

Zaliman turut mengingatkan mahasiswa baharu agar tidak memendam masalah seorang diri dan mendapatkan bantuan daripada pensyarah, penasihat akademik, pihak kolej kediaman atau Jabatan Hal Ehwal Pelajar sekiranya berdepan sebarang kesukaran.

Kemasukan 2,974 pelajar baharu itu sekali gus membuka lembaran baharu buat UniMAP dalam meneruskan agenda pendidikan dan pembangunan mahasiswa, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berkemahiran, berdaya saing dan berintegriti.

Total Views: 106