Advertisement

Hooding Ceremony UMPSA 2026 Raikan 59 Graduan Doktor Falsafah

Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu

Pekan, 30 Oktober – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan seramai 59 graduan Doktor Falsafah (PhD) menerusi penganjuran Hooding Ceremony 2026 yang berlangsung di Dewan Cendekia Siswa, UMPSA Pekan, hari ini.

Majlis ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap pencapaian akademik tertinggi para graduan yang telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang perjalanan pengajian, penyelidikan serta penghasilan sumbangan ilmiah dalam bidang kepakaran masing-masing.

Hadir menyaksikan detik bermakna tersebut ialah Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal bin Yusoh; serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi bin Ab Rahim.

Penganjuran majlis ini turut mencerminkan komitmen UMPSA dalam menghargai kecemerlangan akademik serta sumbangan para penyelidik yang telah berjaya mencapai tahap tertinggi dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Kejayaan yang diraih turut mencerminkan kesungguhan, ketekunan dan komitmen tinggi para graduan, di samping sokongan serta pengorbanan ibu bapa, ahli keluarga, penyelia dan warga akademik yang sentiasa menjadi pendorong sepanjang tempoh pengajian.

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada kesemua 59 graduan PhD UMPSA 2026 serta ibu bapa dan ahli keluarga yang turut berkongsi kegembiraan atas pencapaian membanggakan ini. Sesungguhnya, kejayaan ini bukan hanya milik para graduan, malah menjadi lambang pengorbanan, doa dan sokongan insan-insan yang sentiasa bersama sepanjang perjalanan menuntut ilmu.

Pencapaian ini diharapkan menjadi sumber inspirasi dan pembakar semangat kepada seluruh mahasiswa UMPSA untuk terus berusaha, tidak mudah berputus asa serta berani mengejar impian dalam mencapai kecemerlangan akademik dan kehidupan.

Para graduan juga diharapkan dapat terus memanfaatkan kepakaran dan ilmu yang diperoleh untuk meneroka bidang penyelidikan baharu, menghasilkan inovasi serta memperluas sumbangan dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Semoga kejayaan yang diraih ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pencapaian membanggakan, sekali gus membolehkan para graduan terus menyumbang kepada pembangunan ilmu, masyarakat dan negara di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Total Views: 0