Berita oleh: Anis Zulaikha Kamal
Gambar: Ihsan dari PROTON dan Dr. Fikriyah Abdullah
PUTRAJAYA, 23-25 Oktober 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar kejayaan membanggakan apabila pasukan Powerpuff Girls yang mewakili UUM berjaya terpilih sebagai antara tujuh pasukan finalis terbaik (Top 7) daripada 56 pasukan universiti seluruh negara dalam PROTON Business Case Study Challenge 2026.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara PROTON dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha memperkasa bakat mahasiswa serta meningkatkan kesediaan graduan menghadapi cabaran industri automotif yang semakin berkembang, khususnya dalam bidang mobiliti elektrik.

Menerusi pertandingan yang bertemakan EVs and Gen Z: What’s Missing?, para peserta dicabar untuk menghasilkan idea inovatif dan strategi kreatif bagi menjadikan kenderaan elektrik (EV) sebagai pilihan utama Generasi Z. Cabaran ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk meneroka potensi pasaran EV, memahami keperluan pengguna muda serta mengemukakan penyelesaian yang relevan dengan perkembangan industri automotif masa kini.
Kejayaan pasukan Powerpuff Girls menempatkan UUM dalam kelompok tujuh pasukan terbaik membuktikan keupayaan mahasiswa universiti ini dalam mengaplikasikan pengetahuan akademik, pemikiran kritis dan kreativiti bagi menangani cabaran industri sebenar.
Lebih membanggakan, salah seorang ahli pasukan, Chin Man Ling pelajar Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) turut menerima Conditional Letter bagi PROTON Young Talent (PYT) Programme daripada PROTON. Pengiktirafan ini mencerminkan potensi dan keupayaan mahasiswa UUM dalam memenuhi keperluan industri serta membuka peluang untuk meneroka pembangunan kerjaya bersama PROTON.
Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah, yang juga merangkap sebagai Penasihat pasukan Powerpuff Girls berkata, kejayaan pasukan ini membuktikan bahawa mahasiswa UUM mempunyai potensi besar untuk bersaing di peringkat nasional serta mengemukakan idea kreatif dan inovatif yang memenuhi keperluan industri.

Menurut beliau, penglibatan mahasiswa dalam pertandingan berasaskan industri seperti ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran pemikiran kritis dan penyelesaian masalah, malah turut memberi pendedahan kepada mereka terhadap peluang kerjaya serta keperluan sebenar dunia pekerjaan.
Beliau turut berharap pencapaian tersebut dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai mahasiswa UUM untuk mengambil peluang menyertai program dan pertandingan yang melibatkan kerjasama industri bagi memperkukuh kompetensi serta kebolehpasaran graduan.
Pencapaian ini selari dengan aspirasi UUM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kompetensi, daya saing dan kebolehpasaran yang tinggi melalui penglibatan dalam program berasaskan industri.
Kejayaan pasukan Powerpuff Girls diharap dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa UUM untuk terus berani mengetengahkan idea, mencabar kreativiti dan merebut peluang yang disediakan oleh pihak industri dalam membina masa depan kerjaya yang lebih cemerlang.













