Advertisement

UUM Serlah Potensi Di FOI 2026, Raih Geran RM1 Juta Dan Pengiktirafan Nasional – MySiswaNow

Berita dan Gambar oleh SELECT JHEPA UUM

PUTRAJAYA– Seramai 400 pelajar dan staf Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai ribuan pengunjung pada hari pertama penganjuran Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2026 yang membuka tirainya hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

​Delegasi yang terdiri daripada staf pentadbiran dan akademik serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), pemimpin badan pelajar dan pelajar semester akhir itu hadir bagi meneroka peluang wacana intelektual, pameran inovasi teknologi dan jaringan industri sepanjang festival tiga hari anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tersebut.

​Mengangkat tema “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”, edisi ketiga FOI ini menampilkan 20 pengisian utama merentasi tujuh zon pameran dan forum melibatkan 72 tokoh serta panelis dari dalam dan luar negara.

​Majlis perasmian festival ini telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir di Dewan Perdana, PICC.

​Menerusi gagasan “Pengguna kepada Pencipta Teknologi” yang diutarakan dalam ucapannya, Dr. Ahmad Zahid menekankan bahawa Malaysia perlu bergerak ke hadapan bagi membina masa depan yang berteraskan kemajuan teknologi dan nilai kemanusiaan.

​Beliau turut menegaskan peranan penting institusi pengajian tinggi dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang menyokong penuh pembangunan bakat mahasiswa agar selari dengan tuntutan industri semasa.

Sementara itu, UUM turut mencuri tumpuan apabila penerima Anugerah Tokoh Siswa Negara 2026 yang juga mantan Yang Dipertua MPP UUM, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain tampil menyampaikan perkongsian dalam slot IDEAPULSE: Ordinary Problems, Extraordinary Ideas.

​Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi pengalaman kepimpinannya sepanjang menerajui MPP serta menasihati pemimpin pelajar agar sentiasa menjiwai denyut nadi pelajar dan kerap turun padang bagi memantau kebajikan rakan-rakan di kampus.

​Dalam perkembangan sama, UUM turut melakar kejayaan manis apabila meraih pengiktirafan dalam kategori University Social Enterprise yang telahmemenangi tempat Naib Johan bagi Pertandingan TikTok Challenge (Kategori Video Paling Viral) yang membawa pulang wang tunai RM1,000 serta hadiah saguhati bernilai RM300 bagi Kategori Utama.

Selain itu, UUM turut menerima peruntukan berjumlah RM1 juta menerusi Geran Penyelidikan Eksploratori dan Transformatif (GET) Tahun 2026 daripada KPT bagi memacu penyelidikan berimpak tinggi yang disalurkan secara berfasa.

​Replika cek peruntukan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad. 

Turut hadir memeriahkan program dan meninjau reruai pameran UUM ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UUM Holdings Sdn. Bhd., Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim.

​Secara keseluruhannya, penganjuran FOI menjadi platform penting dalam mempamerkan idea baharu dan menjadikan pendidikan tinggi lebih mudah diakses oleh masyarakat, di samping meletakkan Malaysia sebagai hab wacana intelektual serta inovasi di peringkat serantau dan global melalui himpunan pakar, ahli akademik, pembuat dasar dan pemain industri.

Total Views: 0