Oleh : Dr. Mohd Akmali Bin Mokhter, Nur Shuhada Nordin, Sharimal Bin Osman
JOHOR BAHRU – Usaha memperkukuh hubungan serantau melalui pendidikan, sejarah dan kebudayaan terus diperkasakan menerusi penganjuran Synergy Exchange Nusantara: Academic Discovery & Adventure 2026 (SENADA’26) oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang menghimpunkan mahasiswa dari Malaysia dan Indonesia dalam sebuah platform pertukaran ilmu dan pengalaman rentas budaya.
Berlangsung selama 18 hari, bermula 30 Oktober hingga 16 November 2026, program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah aspirasi 1 Kolej 1 ASEAN, anjuran Majlis Fellow dengan kerjasama Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), UTM.
SENADA’26 dirangka sebagai platform pembelajaran bersepadu yang menggabungkan pengisian akademik, penerokaan sejarah dan warisan budaya serta interaksi bersama komuniti setempat. Pendekatan ini bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih holistik kepada mahasiswa, di samping meningkatkan pemahaman terhadap kepelbagaian budaya, sejarah dan identiti masyarakat Nusantara, khususnya di Johor.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, ketika merasmikan program tersebut berkata, penganjuran SENADA’26 mencerminkan komitmen universiti dalam merealisasikan aspirasi UTM ASCEND 2030, khususnya melalui teras Global Talent yang menekankan pembangunan bakat berdaya saing global menerusi mobiliti antarabangsa, pendedahan rentas budaya dan pembentukan jaringan strategik serantau.
Pengetua Kolej Tun Dr. Ismail, UTM, ChM. Dr. Mohd Akmali Bin Mokhter turut menegaskan bahawa interaksi antara mahasiswa dan institusi pengajian tinggi dari negara berbeza mampu memperluas perspektif pembelajaran, merangsang perkongsian kepakaran serta membuka peluang kolaborasi dalam bidang ilmu, teknologi dan inovasi. Sepanjang lebih dua minggu berkampung di UTM, program ini bekerjasama dengan Fakulti Sains, UTM bagi mengikuti kursus pendek yang melibatkan Kursus Kimia, Fizik, Biosains dan Matematik serta Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM bagi kursus Bahasa Inggeris.

Menerusi program akademik ini, pelajar-pelajar dapat mewujudkan satu platform bermakna bagi bertukar pendapat tentang teknologi dari kedua-dua negara. Bukan sekadar akademik, malah program-program kebudayaan rentas sempadan turut disajikan oleh peserta-peserta sepanjang program ini dianjurkan dimana setiap peserta telah mempersembahkan satu persembahan kesenian kebudayaan dari negara masing-masing.
Menurt Pengarah program, Nur Shuhada Nordin, “Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap peserta memperoleh pengalaman yang bermakna dan menyeluruh sepanjang berada di Johor. Kami mahu mereka bukan sahaja menimba ilmu dalam aspek akademik, tetapi turut memahami sejarah, menghayati budaya serta mengenali masyarakat setempat.

“Lebih penting, program ini menjadi ruang untuk membina persahabatan, memperkukuh persefahaman dan mewujudkan jaringan kerjasama antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Selain aktiviti lawatan dan penerokaan warisan, peserta turut terlibat dalam pelbagai program perkongsian akademik, aktiviti kebudayaan, pembelajaran kolaboratif serta penglibatan bersama komuniti tempatan di sekitar Johor.

Secara keseluruhannya, SENADA’26 membuktikan bahawa pendidikan tinggi berperanan sebagai medium penting dalam memperkukuh diplomasi ilmu, persefahaman budaya dan hubungan serantau. Penganjuran program seumpama ini juga diharapkan dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai pemikiran global, jati diri yang kukuh, nilai kepimpinan serta keupayaan berinteraksi secara berkesan dalam persekitaran masyarakat antarabangsa.
Sumber : MalaysiaGazette













