Oleh : Ong Hong Yao
JOHOR BAHRU, 17 November – Dikenali mesra dalam kalangan warga kampus sebagai “Tsai”, Tsai Jia Yuh melakar satu lagi pencapaian membanggakan sempena Istiadat Konvokesyen Ke-70 Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau yang menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian Kelas Pertama turut menerima pengiktirafan berprestij menerusi Anugerah Siswi Cemerlang 2026 daripada Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM). Anugerah tersebut disampaikan dalam majlis penyampaian Anugerah Siswi Cemerlang 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Pengiktirafan di peringkat kebangsaan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik beliau yang berjaya memperoleh Anugerah Dekan sebanyak enam kali sepanjang tempoh pengajian, malah mengiktiraf komitmen dan kesungguhan beliau sebagai pemimpin pelajar yang berwibawa. Kejayaan ini membuktikan bahawa golongan wanita berupaya tampil sebagai pemimpin dan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
Namun, perjalanan beliau menuju kejayaan bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal. Berbekalkan latar belakang pengajian Biologi di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), bidang Kejuruteraan Kimia sebenarnya merupakan pilihan ketujuh dalam permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) beliau.
Pada awalnya, beliau berasa kecewa dengan penempatan tersebut. Walau bagaimanapun, atas kekangan kewangan, beliau mengambil keputusan untuk menerima tawaran berkenaan. Peralihan kepada program pengajian yang banyak melibatkan bidang Kimia dan Matematik merupakan satu cabaran besar buat dirinya. Beliau turut berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri pada peringkat awal pengajian. Namun, dengan bimbingan berterusan serta sokongan pensyarah dan rakan-rakan, beliau akhirnya berjaya menyesuaikan diri dan menguasai kurikulum pengajian yang mencabar.
“Kadangkala, kita hanya perlu mengumpulkan keberanian untuk keluar daripada zon selesa. Jika tidak, kita tidak akan pernah melangkah keluar daripadanya,” jelas Tsai ketika mengimbas kembali cabaran yang dihadapinya pada awal pengajian.

Setelah prestasi akademiknya semakin stabil, Tsai mengambil keputusan untuk terus mencabar kemampuan diri dengan meneroka pengalaman di luar bilik kuliah. Hasrat untuk memperluas jaringan profesional serta meningkatkan kemahiran insaniah mendorong beliau melibatkan diri secara aktif dalam kepimpinan dan tadbir urus pelajar di kampus.
Keberanian tersebut membuahkan hasil apabila beliau berjaya mencipta pencapaian tersendiri dalam bidang kepimpinan pelajar. Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM bagi sesi 2025/2026. Selain itu, beliau turut melakar sejarah dalam pengurusan kolej kediaman apabila menjadi wanita berbangsa Cina pertama yang dilantik sebagai Presiden Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO).
Keupayaan beliau menguasai tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin, turut menjadi kelebihan dalam menjalankan tanggungjawab kepimpinan. Kemahiran tersebut membolehkan beliau menghubungkan komuniti yang berbeza, berkomunikasi secara berkesan dengan pelbagai pihak serta memperjuangkan kebajikan mahasiswa.

Penglibatan beliau dalam kepimpinan turut berkembang ke peringkat antarabangsa apabila berpeluang mewakili UTM dalam Global Student Leadership Summit (GSLS’26) di Jepun serta menyertai program pertukaran budaya di Indonesia.
Di samping itu, beliau turut menyumbang sebagai penulis untuk UTM News dan terlibat dalam pengurusan program utama universiti seperti FESKO’69. Bagi Tsai, penglibatan dalam kepimpinan pelajar bukanlah penghalang kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya menjadi platform praktikal untuk mengasah kemahiran komunikasi, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

Di sebalik kesibukan mengimbangi tuntutan akademik dan tanggungjawab kepimpinan, ibu dan kakaknya merupakan sumber kekuatan terbesar sepanjang perjalanan beliau di universiti. Komitmen yang tinggi dalam mengendalikan program universiti serta memimpin organisasi pelajar menyebabkan beliau sering tidak berkesempatan untuk pulang ke kampung halaman ketika musim cuti.
Namun begitu, ibu dan kakaknya sentiasa memberikan sokongan, dorongan, pengertian serta kasih sayang yang tidak berbelah bahagi walaupun dari kejauhan.

Kesungguhan beliau dalam bidang akademik dan kepimpinan turut membuahkan hasil dalam persediaan menghadapi alam pekerjaan. Sebelum melangkah ke pentas konvokesyen, Tsai telah berjaya memperoleh tawaran pekerjaan dalam bidang kejuruteraan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan kerjaya profesionalnya.
Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan pembangunan mahasiswa secara holistik yang diterapkan oleh UTM, bukan sahaja dalam melahirkan graduan berprestasi tinggi dari segi akademik, malah turut melengkapkan mereka dengan kemahiran insaniah dan pengalaman kepimpinan yang memenuhi keperluan industri. Usaha ini juga seiring dengan aspirasi UTM untuk mencapai 100 peratus kebolehpasaran graduan serta menawarkan graduan peluang memperoleh gaji permulaan premium.
Bermula daripada pilihan ketujuh dalam permohonan UPU, perjalanan Tsai akhirnya membawa beliau kepada pengiktirafan di peringkat kebangsaan, pencapaian bersejarah dalam kepimpinan mahasiswa serta menjadi inspirasi kepada pemerkasaan wanita.
Sempena Istiadat Konvokesyen Ke-70 UTM, Tsai turut menitipkan pesanan kepada generasi mahasiswa akan datang agar sentiasa percaya kepada kemampuan diri dan tidak mudah berputus asa.
“Jangan pernah berputus asa walaupun sesuatu perkara tidak berjalan seperti yang diharapkan. Sentiasa percaya kepada diri sendiri dan ingatlah bahawa kegagalan itu bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Sebaliknya, kegagalan merupakan sebahagian daripada perjalanan untuk membentuk diri menjadi lebih kuat,” katanya.
Sumber: UTM Newshub













